Zuraida kecam PKR pilih bulu pecat 2 ahli

Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin mengecam tindakan “berani” partinya memecat Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Zakaria Abdul Hamid dan seorang lagi ahli di Pahang yang disifatkannya pilih bulu.

“Saya katakan berani kerana tindakan ini benar-benar dilihat sebagai suatu langkah reformasi dalam parti, reformasi yang membawa rebah.

“Pemecatan yang dilakukan itu hanya akan mendatangkan tanda tanya apakah ia dilakukan dengan memilih bulu memandangkan hanya individu tertentu yang dilihat berpihak pada pimpinan tertentu saja diambil tindakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Pengerusi Lembaga Disiplin PKR, Ahmad Kassim mengumumkan pemecatan Zakaria serta ahli PKR Pahang, Ismail Dulhadi.



Ahmad dilaporkan berkata, Zakaria dipecat selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia mendapati ketua PKR Bahagian Bera itu menawarkan kontrak bernilai RM20,000 dan peruntukan sekurang-kurangnya RM300,000 ketika bertanding dalam pemilihan parti tahun lalu.

Zakaria bagaimanapun dilaporkan berkata, beliau tidak tahu mengenai pemecatan itu dan akan menunggu penjelasan rasmi parti sebelum memaklumkan tindakan susulan yang mungkin diambilnya.

Hari ini, Zuraida berkata, jika benar SPRM menyarankan parti politik mengambil tindakan terhadap ahlinya yang belum dibuktikan bersalah di mahkamah, maka parti juga wajib mengambil tindakan terhadap beberapa ahli yang jelas melanggar undang-undang negara.

“Ia seperti kes pukul, samseng, meminta rasuah semasa pemilihan parti dan beberapa lagi kes yang sememangnya diketahui umum,” dakwanya.



Menteri perumahan dan kerajaan tempatan itu menggesa PKR melakukan reformasi kepimpinan segera, jika mahu parti itu diselamatkan.

FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker