Anwar tak layan gerakan ‘pintu belakang’

Presiden PKR Anwar Ibrahim menegaskan pihaknya tidak akan melayan mana-mana gerakan yang cuba menubuhkan kerajaan baru melalui pintu belakang.

Anwar berkata, semua pimpinan PH tetap senada menyatakan transisi jawatan perdana menteri akan berlaku seperti dipersetujui sebelum ini.

“Kita bincang tentang ini (pintu belakang) semalam tapi saya tak dengar tentang Hadi (Abdul Hadi Awang), baru hari ini dibangkitkan.

“Kita tak bangkitkan semalam. Kita tetap komited daripada Tun Mahathir kepada saya. Kami tak layan sebarang gerakan pintu belakang,” katanya selepas menyampaikan ucaptama pada Konvensyen Reformis 2019, hari ini.

Malam tadi, Presiden PAS, Hadi dilaporkan mendedahkan beliau ditawarkan untuk membentuk kerajaan melalui pintu belakang.

Hadi bagaimanapun berkata, beliau menolak tawaran tersebut kerana mahu melakukan perkara yang betul dengan membentuk kerajaan melalui pintu hadapan.

Sebelum ini, kecoh apabila Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali dikatakan mengadakan pertemuan dengan 22 ahli Parlimen BN dan 5 dari PKR di kediaman rasminya dipercayai berkaitan dengan sokongan kepada Mahathir.

Azmin menegaskan pertemuan itu hanya mesyuarat biasa yang membincangkan hal pembangunan di kawasan Parlimen masing-masing.

Kelmarin, Mahathir mendakwa Azmin memaklumkan kepadanya sekumpulan ahli Parlimen BN yang bertemu dengan menteri hal ehwal ekonomi itu Isnin lalu mengaku telah hilang parti.

FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker