Tun M perlu buat ‘pembedahan besar’, saran Hadi

Share


Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad perlu membuat ‘pembedahan besar’ berdasarkan ‘gempa’ yang berlaku dalam Kabinetnya, dalam usaha menyelamatkan kerajaan dan negara.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, jika melihat kepada rintihan (rakyat) yang berlaku, kerajaan kini menghadapi penyakit yang sangat besar.

Bagaimanapun, beliau percaya akan kebolehan dan kepakaran Dr Mahathir yang mampu menyelamatkan keadaan.

“Kita nampak kenyataan perdana menteri itu perlu kepada pembedahan (rombakan Kabinet). Dia seorang doktor kan, dia tahu lah nak bedah kat mana, kalau jasad manusia.

“Ia macam penyakit kalau kita tahu penyakit dan kita tak ubat sekarang, jadi berjangkit lah. Penyakit berjangkit tu kena pula kalau perlu pembedahan, perlu buat pembedahan. Kalau perlu rawatan, kena buat rawatan.

“Dia pula seorang ahli politik paling lama sejak zaman Tunku Abdul Rahman dan Tun Abdul Razak. Jadi, dia boleh tengoklah mana yang kena kerat, mana kena bedah, mana yang kena jahit,” katanya ketika ditemui di Rusila, selepas menyampaikan Kuliah Dhuha, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai bayangan rombakan kabinet oleh Dr Mahathir.

Ditanya adakah pembedahan itu bermakna perlunya banyak rombakan yang perlu dibuat, Abdul Hadi bagaimanapun berkata, ia terpulang kepada Dr Mahathir.

Jelasnya, sebagai perdana menteri, Dr Mahathir lebih tahu dan berpengalaman, malah sudah setahun lebih beliau dapat melihat sendiri prestasi anggota Kabinetnya.

“Dia sudah lama jadi perdana menteri dan saksikan mana anggota Kabinet yang mampu menjalankan tugas, yang tak mampu menjalankan tugas, yang kuat dan yang lemah semua dia tahu. Terpulang kepada beliau untuk menentukannya.

“Dia sudah buat kenyataan perlu rombakan Kabinet dan memang kita melihatnya perlulah. Perlu anak buah yang sesuai dengan dia untuk menjalankan tugas,” katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai kenyataan timbalannya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man agar Lim Guan Eng digugurkan kerana prestasi yang dianggap mengecewakan, Abdul Hadi berkata, ia satu pandangan yang dilihat pada zahir sekarang.

Jelasnya, selain peruntukan kewangan yang tak saksama, beberapa perkara yang dilakukannya dilihat tidak betul.

Sinar

(Visited 1 times, 1 visits today)


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *