Pemimpin Umno saran Dr Mahathir bentuk kerajaan perpaduan

Share

Umno mencadangkan supaya Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad membentuk “kerajaan perpaduan” dengan pembangkang, khususnya Umno sekiranya ingin terus menguasai Putrajaya.

Bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri, Shahidan Kassim, berkata, ini susulan imej Pakatan Harapan (PH) yang telah ditolak rakyat manakala rombakan kabinet pula tidak akan mampu mengubah sokongan rakyat yang semakin merosot.

“Saya sokong kalau Tun (Dr Mahathir) mahukan sebuah kerajaan yang kuat, pilih kalangan orang yang layak (termasuk pembangkang), ‘kerajaan perpaduan’.


“Rakyat bukan benci menteri, tapi kerajaan, ini masa untuk mengajak pembangkang bersama (dalam kabinet).

“Tun antara perdana menteri yang bagus, tapi dikelilingi oleh menteri yang tak bagus.(Menteri) duduk tempelak kerajaan lama, sedangkan kerajaan lama (BN) dulu dipimpin Tun paling lama,” katanya kepada Malaysiakini.

Pada 20 Nov lalu, perdana menteri menyatakan kesediaan untuk mempertimbangkan rombakan kabinet diadakan susulan kekalahan PH pada pilihan raya kecil Tanjung Piai, Sabtu lalu.


Bercakap kepada wartawan selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Bersatu di Petaling Jaya itu, beliau memberitahu sidang akhbar berkenaan bahawa dirinya akan mengkaji semula prestasi menteri-menteri kabinet.

Tanpa menyebut sebarang garis masa, Mahathir tidak menolak kemungkinan rombakan itu akan dilakukan sebelum sidang kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (Apec) yang akan dianjurkan oleh Malaysia pada November tahun depan.

Bagi Setiausaha Agung Umno, Annuar Musa, rombakan kabinet tidak akan menghapus kebencian rakyat terhadap PH pada masa ini.


Katanya, Mahathir perlu membuat keputusan sama ada untuk bersama Umno ataupun DAP, merujuk kepada kerjasama politik sekiranya mahu terus kekal relevan.

Menurut Annuar, penolakan orang Melayu khususnya terhadap PH dan Bersatu adalah disebabkan DAP yang dilihat berada di belakang parti serpihan Umno itu.

“Tun kena pilih antara DAP dan Umno, kalau hendak kuat beliau kena bersama balik dengan Umno.

“Dari segi pilihan kerjasama politik, beliau akan ditolak oleh orang Melayu selagi bersama DAP.

“Tidak mustahil dalam pilihan raya umum akan datang Bersatu akan hilang kesemua kerusi,” katanya ketika ditemui Malaysiakini, hari ini.

Annuar berkata, jika perdana menteri melakukan rombakan kabinet ia tidak akan ubah sokongan rakyat terhadap kerajaan PH yang cukup teruk.

Bahkan beliau mendakwa rombakan kabinet dengan memasukkan kembali bekas menteri yang sebelum ini betsama BN akan menambah lagi keretakan.

“Tak nampak yang ada nilai tambah boleh ubah sokongan rakyat kepada PH, kalau bawa masuk Mustapa Mohamed ganti Lim Guan Eng misalnya, bukan boleh buat ‘magic’,” katanya lagi.

Mkini

Leave a Reply