PAS cadang Guan Eng digugur

Pemimpin PAS pantas memetik nama Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, untuk digugurkan daripada Kabinet Persekutuan, berdasarkan prestasinya yang dianggap mengecewakan.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, menyifatkan Guan Eng sebagai Menteri Kewangan yang tidak memberangsangkan, berdasarkan agihan kewangan dalam Belanjawan 2020 yang tidak seimbang.

Tuan Ibrahim percaya cadangan itu disokong rakyat apabila beberapa kaji selidik di media sosial dikatakan turut menamakan Guan Eng sebagai antara menteri yang perlu digantikan.

“Keputusan di Tanjung Piai juga adalah kerana DAP. Contoh lain, Pulau Pinang mendapat RM10 bilion sebagai peruntukan pembangunan, sedangkan hab halal hanya RM10 juta walaupun nilai pasarannya berbilion.



“Kita tengok Belanjawan dibentang tidak seimbang. Tidak ada projek yang menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi Pantai Timur, sama ada Kelantan, Pahang dan Terengganu, selain Sabah dan Sarawak.

“Sabah dan Sarawak hanya dapat peruntukan banyak untuk baiki sekolah dan jalan raya, tapi apa program besar untuk menjana ekonomi dua negeri ini.

“Belanjawan beliau gagal, sebab itu semua kementerian kecewa dengan peruntukan yang mereka dapat,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad semalam, yang membayangkan akan melakukan rombakan Kabinet sebelum penganjuran Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) tahun depan.



Perdana Menteri menjelaskan, rombakan Kabinet itu perlu dilakukan susulan kekalahan besar Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai, baru-baru ini.

Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian, percaya rakyat mahu Setiausaha Agung DAP itu digugurkan kerana kerap menyalahkan pentadbiran lalu apabila berdepan masalah.

“Menteri Kewangan asyik menyalahkan kerajaan lama. Sudah hampir dua tahun tapi masih menyalahkan kerajaan lama.

“Mana-mana kerajaan, bila ambil alih pentadbiran, kita terpaksa membiayai dan fokus kepada masa depan. Kita akui kelemahan (kerajaan lalu), tapi harus terus membina,” katanya.



BH

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker