KJ kemuka usul bahas tarikh peralihan kuasa perdana menteri? (Updated : KJ NAFIKAN)

Pagi ini tular satu tangkap layar surat Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar kepada Setiausaha Dewan Rakyat, Datuk Roosme Hamzah.

MalaysiaGazette yang memperoleh tangkap layar tersebut mendapati ia menggunakan kepala surat bekas Menteri Belia dan Sukan itu.

Isi kandungan surat itu adalah mengenai usul membahaskan peralihan kuasa daripada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perkara: Suatu usul bagi membahaskan tarikh peralihan kuasa Perdana Menteri (Langkawi) kepada Port Dickson.

Pada perenggan pertama surat itu tertera ayat: “Saya selaku Ahli Dewan Rakyat Rembau membuat usul ini berdasarkan Peraturan 27, Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.”

Surat bertarikh 20 November iaitu semalam itu diterima pejabat Setiausaha Dewan Rakyat.

Peraturan 27 adalah berkaitan dengan tatacara usul-usul dibentangkan di Dewan Rakyat.

Semalam, berlegar ura-ura bahawa satu usul akan dibawa salah seorang ahli Parlimen mengenai tarikh peralihan kuasa Perdana Menteri.

MalaysiaGazette sedang mendapatkan respon pihak Khairy Jamaluddin untuk pengesahan.

Dewan Rakyat akan bersidang sehingga 5 Disember ini. -MalaysiaGazette

Saya tidak usulkan – KJ

Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin menafikan beliau mengemukakan usul kepada Parlimen untuk membincangkan isu peralihan kuasa Perdana Menteri.

Menerusi kenyataan di media sosial hari ini, bekas Menteri Belia dan Sukan itu menafikan gambar tular yang kononnya suatu surat pemberitahuan daripada beliau kepada Setiausaha Dewan Rakyat bagi membawa serta membincangkan usul tarikh peralihan kuasa Perdana Menteri.

“Saya menafikan telah menghantar apa-apa pemberitahuan atau surat kepada pejabat Setiausaha Dewan Rakyat bagi membawakan usul seperti dalam gambar yang disebarkan.

“Tindakan pihak yang menyamar dengan menggunakan nama saya adalah sangat tidak bertanggungjawab dan suatu fitnah yang boleh menjejaskan reputasi saya sebagai Ahli Parlimen yang mewakili kawasan Rembau dan parti Barisan Nasional,” katanya.

Surat bertarikh 20 November lalu dan menggunakan nama Khairy itu dialamatkan kepada Setiausaha Dewan Rakyat, Datuk Roosme Hamzah. Menerusi gambar yang tular itu, surat berkenaan dicop terima bertarikh semalam.

Khairy berkata, beliau agak lewat membuat penafian itu kerana berada di luar negara.

“Ini surat palsu yang dihantar ke Parlimen yang Parlimen terima tanpa periksa dengan saya,” katanya.

Katanya, kepala surat yang digunakan juga berbeza kerana sejak 2008 beliau tidak pernah meletakkan namanya.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker