Hishammuddin: Kenapa salahkan saya isu lewat peroleh kapal TLDM?

Bekas menteri pertahanan Hishammuddin Hussein membidas tuduhan yang mengaitkannya dengan kelewatan perolehan enam kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) jenis kapal tempur pesisir pantai (LCS).

Beliau berkata, “serangan” yang mengaitkannya dengan kelewatan penerimaan kapal itu adalah disebabkan pentadbiran terdahulu adalah terlalu dangkal.

Bahkan katanya, Menteri Pertahanan Mohamad Sabu sendiri telah mengakui kelewatan perolehan LCS berpunca daripada sebab.

“Jelas masalah kelewatan berpunca daripada kontraktor dan syarikat pembekal peralatan.

“Jadi kenapa hendak salahkan saya dan kerajaan terdahulu? Kalau ya pun nak cari modal untuk hentam saya, semak lah fakta betul-betul dulu,” kata ahli parlimen Sembrong itu dalam satu kenyataan di Facebook.

Pada 29 Okt lalu, media melaporkan kegagalan kontraktor menyiapkan reka bentuk terperinci mengikut tempoh dan kelewatan memuktamadkan perolehan sebahagian besar peralatan di bawah tanggungjawab mereka antara punca kelewatan penerimaan enam kapal berkenaan.

Menteri Pertahanan berkata, keadaan kualiti kerja yang tidak memuaskan, tidak mengikut spesifikasi sehingga berlaku kerja berulang dan kerja tertangguh yang tinggi juga menjadi penyebab aset TLDM yang sepatutnya diterima April lalu tidak diterima sehingga kini.

Mohamad berkata, kementerian itu bagaimanapun tidak boleh menghentikan pembelian kerana sudah membayar kos RM6 bilion.

“Kami akan berusaha untuk memastikan ia dapat siap mengikut jadual yang diberi kontraktor.

“Sepatutnya kapal yang pertama dijangka siap April tahun ini tetapi dimaklumkan ia hanya siap Februari 2022,” katanya pada sesi penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2020 di Dewan Rakyat.

Mkini

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker