Perintah anak, isteri solat

ANTARA arahan Allah SWT dalam al-Quran kepada mereka yang memegang tanggungjawab besar dalam keluarga iaitu bapa adalah melindungi diri serta keluarganya daripada api neraka.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.” (Surah at-Tahriim, ayat 6)

Tanggungjawab besar itu perlu digalas bagi memastikan anak-anak tidak melakukan dosa.

Antara dosa paling besar dan paling banyak dilakukan pada manusia hari ini dan hampir setiap rumah melakukannya adalah meninggalkan solat.

Malah, Nabi SAW menyatakan, pemisah antara Islam dan kufur adalah meninggalkan solat.

Solat yang sempurna dan diterima oleh Allah SWT pastinya dapat mencegah pelakunya daripada berbuat mungkar.

Sebab itu, seseorang yang nakal macam mana sekalipun namun jika dia melaksanakan solat, kenakalannya mesti ada hadnya.

Namun, jika seseorang itu mempunyai sahsiah yang tidak baik, ditambah pula tidak bersolat, maka kejahatannya akan lebih mudarat dan tidak bersempadan.

Kita renungi bagaimana kisah Nabi Ibrahim AS yang terpaksa meninggalkan isterinya, Hajar serta anaknya, Ismail di lembah gersang selepas menerima perintah Allah SWT.

Bagaimanapun, Nabi Ibrahim sedar apa yang dilakukannya itu kehendak Allah SWT yang pasti ada hikmah di sebaliknya.

Dalam peristiwa itu, apakah doa pertama dipohon baginda kepada Allah SWT tatkala meninggalkan isteri dan anak kesayangannya sebelum bergerak pulang?

Perkara utama Nabi Ibrahim pohon kepada Allah SWT adalah supaya menjadikan anak dan isterinya dalam kalangan mereka yang mendirikan solat.

Doa itu dirakamkan oleh Allah SWT di dalam al-Quran yang bermaksud: “Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian daripada zuriat keturunanku di sebuah lembah (Tanah Suci Makkah) yang tiada tanaman padanya, di sisi rumah-Mu yang diharamkan mencerobohinya.

“Wahai Tuhan kami, (mereka ditempatkan di situ) supaya mereka mendirikan sembahyang (dan memakmurkannya dengan ibadat). Oleh itu, jadikanlah hati sebahagian daripada manusia tertarik gemar kepada mereka, (supaya datang beramai-ramai ke situ), dan kurniakanlah rezeki kepada mereka daripada berbagai jenis buah-buahan dan hasil tanaman, semoga mereka bersyukur.” (Surah Ibrahim, ayat 37)

Nabi Ibrahim tahu dia minta anak dan isterinya kekuatan untuk menunaikan solat kerana ibadat itulah yang akan menjaga diri mereka daripada segala kejahatan dan kecelakaan.

Selain itu, Nabi Ibrahim mahu mengajar solatlah yang akan memberi ketenangan serta menjamin anak dan isterinya sentiasa dipelihara Allah SWT.

Sehubungan itu, teruskan berdoa kepada Allah SWT supaya zuriat keturunan kita menjadi insan yang sentiasa mendirikan solat dan beramal soleh.

Mungkin ada dalam kalangan ibu bapa diuji mempunyai anak yang terbabit dengan masalah sosial, apatah lagi begitu jauh untuk tekun dalam beribadat.

Namun, letakkan keyakinan dan tidak sesekali berhenti berdoa agar anak itu kembali berubah.

Ini dibuktikan bagaimana kisah Nabi Zakaria AS yang diuji Allah SWT tidak memperoleh anak sehingga ke usia tua.

Malah, isterinya juga mandul sejak mereka berkahwin. Bagaimanapun, baginda tetap bersangka baik terhadap Allah SWT. Baginda tidak berputus asa dan terus berdoa kepada Allah SWT supaya dikurniakan zuriat.

Sehinggalah berlaku keajaiban apabila Allah memakbulkan doanya dan lahirlah zuriat yang turut diangkat sebagai rasul iaitu Nabi Yahya.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan (sebutkanlah peristiwa) Nabi Zakaria, ketika ia merayu kepada Tuhannya dengan berkata: “Wahai Tuhanku! Janganlah Engkau biarkan daku seorang diri (dengan tidak meninggalkan zuriat); dan Engkaulah jua sebaik-baik yang mewarisi.

“Maka Kami perkenankan doanya, dan Kami kurniakan kepadanya (anaknya) Yahya, dan Kami perelokkan keadaan isterinya yang mandul, (untuk melahirkan anak) baginya. (Kami limpahkan berbagai ihsan kepada Rasul-rasul itu ialah kerana) sesungguhnya mereka sentiasa berlumba-lumba dalam mengerjakan kebaikan, dan sentiasa berdoa kepada kami dengan penuh harapan serta gerun takut; dan mereka pula sentiasa khusyuk (dan taat) kepada Kami.” (Surah al-Anbiyaa’, ayat 89-90)

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker