Dr. Mahathir perlu rombak Kabinet

Share


Analisis

TIDAK lagi `bagi muka’ pada sebilangan menteri yang kerjanya dibuat sambil lewa, tidak agresif dan kompetitif.

Yakni, tidak pernah mahu berubah pun biarpun `dibasuh’ berulang kali oleh orang-orang kanan Perdana Menteri.

Praktis di perenggan satu tadi itu dipercayai akan dikuatkuasakan Tun Dr. Mahathir Mohamad selaku Pengerusi Pakatan Harapan (PH) selepas dua kerusi Parlimen kerajaan dirampas pembangkang dalam tempoh cuma setahun enam bulan sejak mengambil alih kerajaan 9 Mei tahun lepas.

Sudah dua kali imej PH atau lebih tepat lagi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dicalarkan Barisan Nasional (BN). Bukan saja hilang kerusi-kerusi Parlimen yang strategik, lebih dahsyat lagi dimalukan dengan majoriti besar diraih pembangkang di Tanjung Piai. Demikian hal sama di Semenyih.

Dan rakyat sudah tidak mahu ingat lagi dah berapa kali Dr. Mahathir menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap prestasi anggota Kabinetnya. Kadar penilaian beliau sekadar lima markah dari 10.

Selepas PH kalah di Tanjung Piai, dengan cakap-cakap jentera penerangan kerajaan pun tidak buat kerjanya, maka ura-ura rombakan Kabinet berlaku atau sama ada direalisasikan dalam waktu terdekat, muncul lagi.

Kalau tidak ada rombakan, kisah lama pasti menyusul seperti biasa. Cara ini mengakibatkan kerajaan PH tak berubah.

Bahkan, Dr. Mahathir akan terus dicela. Bagaimanapun, rombakan Kabinet bukanlah bererti dilema dihadapi Perdana Menteri terus selesai.

Di sisi beliau, tanggungjawab berat menanti. Sekitar 50% janji-janji manifesto PH tempoh hari mesti dibuktikan yang PH boleh buat.

Keluhan anak-anak muda terhadap `janji tidak perlu bayar lagi’ pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), turun harga minyak, pemansuhan tol serta kos hidup melambung tinggi, ini semua berkisar isu-isu ekonomi perut. Maka mesti diperjuangkan.

Kegagalan Perdana Menteri terdahulu, Datuk Seri Najib Tun Razak dan rakan-rakannya tak perlu dihebohkan lagi. Biar mahkamah selesaikan melalui keluhuran undang-undang (rule of law).

Nah! Kalau tak sanggup buat ini semua, bersiap sedialah nanti PH akan diketepikan rakyat dalam PRU-15.

Dewasa ini pula, Datuk Seri Anwar Ibrahim kelihatannya agak sukar menaiki tangga PM ke-8. Adakah dek kerana `Tun M nak selamatkan diri dan partinya lebih dahulu?

Dengan kekalahan teruk Bersatu sendiri kira-kira 15,000 undi di Tanjung Piai, Dr. Mahathir pastinya lebih maklum yang beberapa pendirian lamanya mesti diubah.

Dan Anwar kelihatannya agak sukar mendapatkan bilangan kerusi majoriti Parlimen lantaran timbalannya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sudah berubah kasih.

Di sebalik itu Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pula muncul. Malah dikatakan sedang bermati-matian pula hendak bergabung tenaga dengan Azmin.

Kata mereka yang `jelek’ dengan kelibat bermusim ahli parlimen ini, “Adakah Hisham harap sebagai juara pseudo baharu, moga-moga kes helikopternya dilupai”. Wallahualam.

Suara Merdeka



Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *