Dap di belakang Anwar – Hj Hadi

Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, hari ini membayangkan bahawa DAP mahu menjadikan Presiden PKR, Anwar Ibrahim sebagai boneka mereka dalam kerajaan.

Menurut Abdul Hadi, walaupun DAP menonjolkan Anwar sebagai perdana menteri untuk menggantikan Dr Mahathir Mohamad, beliau berpendapat sebenarnya parti itu mahu mengambil alih kepimpinan negara.

Malah ahli parlimen Marang itu mendakwa DAP mahu “melompat” untuk mencapai matlamat itu.

“Walaupun DAP menonjolkan ke hadapan Anwar mahu menjadi perdana menteri, tetapi merekalah yang sebenarnya mahu mengambil alih kepimpinan negara dan melompat menjadi perdana menteri,” katanya dalam ciapan di Twitter hari ini.

Abdul Hadi – dalam ciapan sama – berkata, ada pihak lain yang dilabelnya “sangat rakus” untuk menjadi perdana menteri.

Ciapan itu kelihatan dibuat secara spontan ketika orang ramai membincangkan isu perjumpaan tertutup Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali, dengan beberapa ahli parlimen BN dan PKR hari ini.

Bagaimanapun difahamkan Abdul Hadi – yang sebelum ini sudah melancarkan siri serangan terhadap Anwar – mengulas mengenai isu peralihan kuasa daripada Mahathir.

Isu tersebut hangat diperkatakan selepas PH gagal mempertahankan kerusi Tanjung Piai pada PRK Sabtu lalu.

Abdul Hadi Awang
@abdulhadiawang
Walaupun DAP menonjolkan ke hadapan DS Anwar Ibrahim yang mahu menjadi PM, tetapi sebenarnya merekalah yang mahu mengambil alih kepimpinan negara dan akhirnya melompat menjadi PM, walaupun pihak lain sangat rakus sehingga tidak sabar-sabar menunggu masa yang sesuai menjadi PM.

Selepas keputusan diumumkan, bekas Timbalan Presiden PKR, Syed Husin Ali, tidak menunggu lama untuk menyuarakan kritikan dengan menyatakan pandangan bahawa kekalahan itu sebagai referendum terhadap pentadbiran Mahathir.

September lalu beliau juga mengecam Mahathir kerana tidak menggariskan pelan peralihan kuasa dengan jelas.

Untuk rekod sebelum PRU ke-14 lalu Abdul Hadi pernah memberi ‘nasihat’ kepada Mahathir supaya tidak terlibat dalam politik sebaliknya menjadi doktor di Klinik 1Malaysia.

Namun pada ketika lain Abdul Hadi menyatakan sokongan PAS agar Mahathir terus kekal sebagai perdana menteri sehingga PRU akan datang.

Mkini

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker