Azmin memang mahu dipecat dan diangkat sebagai hero yang dianiaya

Timbalan Presiden PKR Mohammed Azmin Ali akan terus menimbulkan masalah sehingga dipecat, kata Setiausaha Pemuda PKR (AMK), Ahmad Syukri Che Razab.

Setelah dipecat, katanya, Azmin dan juak-juak pengampu akan mendabik dada sebagai wira yang telah dianiaya kerana bersuara untuk kebenaran.

“Walhal kebenarannya ialah mereka ini merupakan kabilah pintu belakang yang sering menyebabkan keadaan yang tenang menjadi serabut,” katanya dalam satu kenyataan.

Menulas megenai pertemuan Azmin dengan lebih 20 anggota parlimen Umno di kediamannya di Putrajaya pada malam Isnin lalu, Ahmad Syukri mendakwa bahawa ia hanya gimik untuk menarik perhatian Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

“Beliau cuba mempamerkan kekuatan dengan menunjukkan semua ahli parlimen Umno berada di bawah telunjuk beliau.

“Dengan ini ketua kabilah pintu belakang ini mengharapkan beliau akan mendapat sokongan daripada Dr Mahathir untuk menjadi perdana menteri,” katanya.

Ahmad Syukri seterusnya menggambarkan timbalan presidennya sebagai pencari publisiti murahan yang ingin menunjukkan betapa beliau kononnya masih relevan dalam politik hari ini.

Malah, katanya, perjumpaan sulit dengan wakil rakyat Umno itu sama ada terpecah atau sengaja dipecahkan kepada khalayak.

“Hanya Azmin dan setiawannya yang tahu.

“Apa yang dilakukannya ini hanya sekadar ingin memastikan beliau menjadi subjek perhatian media. Mungkin Azmin memang gemar diri beliau dilayan seperti fenomena. Publisiti buruk itu tetap publisiti yang baik bagi politikus yang gilakan lensa kamera,” katanya.

Walau bagaimanapun, pemimpin AMK itu memberi amaran kepada Azmin bahawa beliau sedang menguji had kesabaran kepimpinan PKR dengan karenahnya itu.

“Pelbagai dinding disiplin telah beliau rempuh. Saranan kepimpinan utama PKR untuk beliau hadir ke mesyuarat diabaikan beliau tanpa rasa segan apatah lagi bersalah.

“Oleh itu mudah untuk kita fahami bahawa apa yang sedang berlaku ini adalah kerana nafsu besar sang ketua kabilah pintu belakang yang mahu menjadi perdana menteri.

“Untuk itu beliau memuja-memuji Dr Mahathir yang suatu ketika dahulu beliau sendiri pertikaikan (Mahathir dinamakan sebagai calon perdana menteri sebelum pilihan raya umum lalu),” katanya.

Menurut Ahmad Syukri, dengan berbuat demikian, Azmin mengharapkan beliau akan mendapat sokongan daripada Mahathir untuk menjadi perdana menteri.

“Tapi malangnya, dengan ilmu matematik mudah, nafsu besar ketua kabilah pintu belakang ini mungkin akan menjadi cita-cita yang tak tercapai.

“Justeru nasihat saya kepada ketua kabilah pintu belakang dan setiawannya, berhentilah mengetuk pintu belakang dan kembalilah ke pintu hadapan,” katanya.

Mkini

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker