Menteri Kewayangan Main ‘Hantam’ Buat Bajet – Najib

Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak membidas Menteri Kewangan Lim Guan Eng yang selalu ‘hantam’ apabila membuat bajet tahunan bagi negara.

Katanya, dalam bajet 2019, Setiausaha Agung Dap itu yang digelarnya menteri kewayangan mengunjurkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk tahun ini adalah sebanyak 4.9%.

“Tetapi setakat ini, kadarnya cuma 4.6% setelah pertumbuhan KDNK jatuh ke 4.4% untuk suku ketiga.

“Jika pertumbuhan KDNK untuk suku keempat tahun 2019 kita tak capai 5.8% (mustahil!) maka andaian pertumbuhan KDNK 4.9% untuk tahun 2019 akan lari.

“Dan dengan itu, defisit serta nisbah hutang negara tahun ini lari lagi. Malangnya, dia tidak belajar dari kesilapan dan dia buat lagi,” ujar Perdana Menteri Keenam itu dalam satu hantaran di Facebook.

Menurut Najib yang juga bekas menteri kewangan, andaian paling asas apabila membuat sebarang bajet negara ialah kadar pertumbuhan KDNK untuk tahun bajet itu.

Tambah Najib, dalam bajet 2020 yang diumumkan bulan lepas, Guan Eng membuat andaian pertumbuhan ekonomi untuk tahun depan sebanyak 4.8%.

“Namun, tidak ada satu penganalisis ekonomi membuat unjuran setinggi itu,” bidasnya lagi.

Ulas Najib, bajet hendaklah dibuat secara realistik selaras dengan pertumbuhan saiz ekonomi.

“Kita perlu lebih konservatif. Kita perlu membuat andaian yang selamat dan realistik untuk dicapai kerana hasil negara berkait dengan pertumbuhan saiz ekonomi.

“Jika andaian tidak realistik dan tidak dicapai, maka bajet akan lari dan defisit serta hutang negara akan lebih tinggi,” ujarnya.

Dengan prinsip yang sama jelasnya lagi, andaian KDNK dalam bajet 2017 yang diumumkan olehnya adalah untuk kadar pertumbuhan 4.3% hingga 4.8% bagi tahun 2017.

“Insya-Allah , pertumbuhan KDNK untuk tahun 2017 akhirnya mencapai 5.9% – jauh lebih tinggi dari andaian kita.

“Dengan itu, kita berjanji menurunkan desifit kerajaan tahun 2017 ke 3.0% dan nisbah hutang negara kepada KDNK dapat diturunkan sehingga 48.7% pada suku pertama tahun 2018,” katanya.

Apa yang berlaku sekarang ujarnya ialah nisbah hutang sudah melonjak naik ke 53% di bawah kerajaan Pakatan Harapan. – UMNO ONLINE

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker