Anwar: Kita mahu penjelasan dari Azmin

Presiden PKR, Anwar Ibrahim mahu timbalannya Mohamed Azmin Ali memberi penjelasan berhubung pertemuannya dengan sekumpulan ahli parlimen BN dan PKR malam semalam di kediaman rasminya di Putrajaya.

“Tentu kita akan minta penjelasan. Ini memang menimbulkan banyak persoalan oleh rakan-rakan, jadi sepatutnya beliau (Azmin) beri penjelasan,” kata Anwar ketika ditemui oleh wartawan di lobi parlimen hari ini.

Malam tadi, adalah dilaporkan sekurang-kurangnya 22 wakil rakyat BN yang berkumpul di kediaman rasmi Azmin yang juga adalah menteri ekonomi pada sekitar jam 9.30 malam dan perjumpaan berlangsung selama dua jam.

Ahli parlimen BN mengunci mulut berhubung tujuan lawatan mereka ke banglo yang terletak di tepi Tasik Putrajaya itu.

Wartawan Malaysiakini mengesahkan melihat dua ahli parlimen PKR yang hadir sama iaitu Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin dan Timbalan Menteri Pengangkutan Kamaruddin Jaffar.

Mengulas pertemuan itu, Anwar berkata beliau tidak pasti sama ada mesyuarat itu diadakan atas kapasiti parti atau kerajaan.

“Saya tidak tahu sebab itu saya minta lebih baik bagi penjelasan, kalau atas kapasiti parti ataupun kerajaan.

“Kalau kerajaan, mengapa ada MP yang tidak diundang?” soalnya.

Mkini

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker