Aktivis tak setuju polis semak telefon bimbit orang awam

Seorang aktivis masyarakat menyifatkan tindakan polis menyemak telefon bimbit orang awam tanpa alasan kukuh boleh dianggap sebagai menceroboh privasi.

Lee Lam Thye berkata perkara ini sudah tentu tidak dapat diterima orang ramai yang pasti mempunyai privasi masing-masing.

“Kalau polis boleh tahan dan ‘check’ telefon bimbit seseorang tanpa alasan kukuh, saya rasa ini tak wajar dan ini memang bercanggah dengan privasi.

“Telefon bimbit itu privasi, tak boleh lah ‘check’ begitu saja. Orang ramai pun mesti tak terima cara ini,” katanya kepada FMT.

Lee berkata sebarang isu berkaitan telefon seperti yang disebut Azis, ia bukanlah di bawah kuasa polis.

“Kalau ada yang sebar maklumat tak betul, lucah, mengugut dan sebagainya, itu di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), bukan polis.

“Tapi tak kiralah SKMM atau polis, tapi pada pandangan saya secara peribadi, ini tak wajar dilakukan,” katanya.

Semalam, Timbalan Menteri Dalam Negeri Mohd Azis Jamman ketika menjawab soalan di Dewan Rakyat berkata polis mempunyai hak untuk menyemak telefon bimbit orang awam untuk memastikan tiada sebarang komunikasi berunsur lucah, jelik, mengugut dan mengancam keselamatan.

Katanya, perkara itu dibenarkan berdasarkan peruntukan undang-undang di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.

Sebelum itu, Ahli Parlimen Alor Setar Chan Ming Kai membangkitkan soal akta dan prosedur operasi standard (SOP) yang membenarkan polis menyemak telefon bimbit orang awam pada bila-bila masa.

Manakala, peguam Muhammad Akram Abdul Aziz berkata skop kuasa pemeriksaan Kementerian Dalam Negeri pada Seksyen 233 AKM itu kelihatan tidak jelas, namun kuasa itu jelas apabila dirujuk pada akta-akta lain.

“Contohnya, Seksyen 245(1) di mana menteri boleh secara bertulis memberi kuasa mana-mana pegawai awam atau pegawai SKMM untuk menjalankan kuasa penguatkuasaan di bawah AKM 1998.

“Seksyen 246(2) juga menyatakan mana-mana pegawai diberi kuasa menjalankan semua kuasa khas berhubung dengan penyiasatan polis’.

“Seksyen 252(1) juga boleh diguna pakai di mana skop penyiasatan menyatakan pendakwa raya, jika beliau berpendapat mana-mana komunikasi mungkin mengandungi apa-apa maklumat yang berkaitan suatu kesalahan di bawah akta ini, boleh memberi kuasa kepada pegawai polis untuk memintas komunikasi yang dihantar atau diterima melalui mana-mana alat komunikasi,” katanya.

FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker