Tanjung Piai permainan halus untuk jatuhkan Mahathir.

Share


KEKALAHAN di Tanjung Piai nampaknya bukan sahaja sukar ditelan oleh pemimpin Bersatu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sahaja, bahkan para penyokong mereka.

Syed Saddiq kini bukan sahaja perlu belajar menerima kekalahan itu, tetapi perlu bersedia sepenuhnya untuk mempertahankan idolanya Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Antara ciapan yang trending di twitter hari ini adalah mendesak Tun Dr. Mahathir Mohamad meletakkan jawatan kerana menjadi punca kepada kerajaan hari ini dibenci oleh rakyat. Ia juga berlaku seolah-olah telah dirancang.

Bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri dalam hantaran ke facebook peribadinya menjangkakan para pemimpin DAP akan menyalahkan Mahathir di atas kekalahan di Tanjung Piai.

Isu penceramah bebas Zakir Naik, Kongres Maruah Melayu dan banyak lagi isu lain dikatakan menjadi punca pengundi Cina tidak lagi menyokong Pakatan Harapan.

Ulasan Mahathir berhubung Manifesto yang tidak ditunaikan secara sarkastik dikatakan antara punca rakyat kecewa memilih Pakatan Harapan (PH). Para penyokong memang tidak sedar permainan halus yang dimainkan oleh para pemimpin PH yang berpihak kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjatuhkan Dr. Mahathir.

Seperti tulisan saya sebelum ini Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah orang yang harus diperhatikan kerana beliau adalah senjata yang akan digunakan oleh Anwar untuk menjatuhkan Mahathir, sebagaimana Mahathir menggunakan Muhyiddin untuk menjatuhkan Datuk Seri Najib Tun Razak tempoh hari.

Untuk menjatuhkan Mahathir tidak semudah menjatuhkan Rahim Thamby Chik, Najib atau Pak Lah kerana ia memerlukan tenaga banyak pihak digembleng. Selaku orang yang bakal menjadi Perdana Menteri, tangan Anwar tidak seharusnya terpalit dengan kerja kotor ini, kerana nanti beliau akan dikenali sebagai pemimpin yang jahat lagi kotor.

Jadi Muhyiddin adalah calon yang paling sesuai. Selaku Presiden Bersatu takkanlah beliau tidak dapat menjangka kekalahan teruk akan dialami mereka apabila meletakkan Haji Karmaine Sardini sebagai calon. Sudahlah tidak menggambarkan aspirasi Malaysia Baharu dari segi usia, bahkan karismanya langsung tidak kelihatan.

Jadi dengan meletakkan calon yang lemah jika menang ia tidak menjadi masalah, tetapi apabila kalah tentulah kesemua kesalahan akan ditunding kepada Mahathir dan ini akan dijadikan peluru untuk mendesak supaya pemimpin itu meletakkan jawatan.

Mahathir juga kini tidak mempunyai sebarang media untuk mempertahankan diri, jika dahulu masih ada Utusan Malaysia yang kental dengan loyalis negarawan itu, pasti beliau akan dibela. Utusan pun sudah digulung tikar oleh orang politik dan tidak mengejutkan akan dijadikan satu lagi media milik PH untuk menyerang Mahathir.

Serangan kali ini hanya bunga kepada jurus sebenarnya yang dijangka akan dilancarkan tahun hadapan serentak dengan Utusan Malaysia yang baharu dilancarkan. Jika Mahathir masih berdegil untuk kekalkan dengan jawatannya hingga tahun hadapan beliau akan berdepan dengan serangan bertali arus.

Pintu untuk bermuafakat dengan Muafakat Nasional juga semakin tertutup, kerana Mahathir semakin keseorangan hari demi hari semakin ramai yang menyeberang ke kapal Anwar.

Rombakan kabinet bukanlah penyelesai kepada masalah ini, kerana Mahathir tidak akan mampu memiliki kabinet yang senonoh kerana deretan pemimpin yang tidak berkualiti berada di dalam PH.

Takkanlah Mahathir hendak menggugurkan presiden dan timbalan presiden parti-parti komponen yang kini memegang jawatan menteri portfolio yang kanan. Takkanlah Mahathir hendak menggugurkan Mat Sabu yang memang terang-terangan tidak layak sebagai Menteri Pertahanan kerana beliau ialah Presiden Amanah.

Takkanlah Mahathir mahu memberi jawatan berkenaan kepada Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong, nanti kabinet PH akan dipenuhi dengan para menteri dari DAP. Jika dilihat dari segi merit memang timbalan menteri dan menteri dari DAP lebih berkualiti berbanding dari parti-parti lain.

Apa yang boleh dan wajar beliau lakukan kini ialah membubarkan Parlimen dan kembali kepada UMNO untuk membetulkan keadaan.

Ketua Pembangkang, Ismail Sabri Yaakob yang juga Naib Presiden UMNO turut menggesa kerajaan PH supaya membubarkan parlimen kerana telah hilang keyakinan rakyat.

“Penolakan rakyat terhadap PH di Tanjung Piai bukan lah yang pertama. Kerajaan telah ditolak berturut-turut sebanyak tiga kali sejak PRK Cameron Highlands, diikuti Semenyih dan Rantau. Majoriti kekalahan PH meningkat daripada 3,000 lebih di Cameron Highlands ke 4,000 lebih di Semenyih dan Rantau sehingga memuncak kepada 15,000 lebih di Tanjung Piai.

“Mesej rakyat amat jelas iaitu mereka tidak lagi percaya kepada kerajaan PH untuk menerajui pemerintahan negara ini. Keputusan Tanjung Piai merupakan referendum rakyat yang menolak kerajaan hari ini. Kerajaan tiada pilihan lagi selain daripada membubarkan parlimen,” katanya dalam suatu kenyataan hari ini.

Jika Mahathir masih enggan melepaskan jawatan Perdana Menteri, kita tunggu apakah Muhyiddin akan sekali lagi dijadikan alat untuk mengusulkan undi tidak percaya kepada Perdana Menteri di Parlimen.

Suara Merdeka



Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *