Penduduk Tg Piai sudah buka mata, enggan ditipu janji manis PH

Penduduk Tanjung Piai berkata mereka sudah menduga kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya kecil (PRK) Parlimen itu yang berakhir Sabtu lalu.

Penduduk tempatan yang ditemui FMT berkata rakyat sudah membuka mata tentang kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan tidak mahu ditipu dengan janji-janji manis.

Penduduk Kampung Serkat, Mohd Najib Abdul Hamid yang mengusahakan kedai runcit berkata jika rakyat tidak berubah, mungkin mereka akan ditipu selama-lamanya.

“Janji manifesto seperti tol dan untuk orang muda juga tak dapat.



“Perlu lunaskan janji mereka,” katanya.

Najib, 40, berkata sebagai pemimpin, kerajaan juga perlu menjadi contoh yang baik, bukannya hanya menyerang seperti pembangkang.

“Mengutuk dan mengeji tidak sepatutnya. Buat apa yang rakyat mahu.

“Kalau nak kekal kena ubah, janji dibuat kena lunaskan. Kalau tidak rakyat akan tolak PH,” katanya.



Sabtu lalu, BN berjaya merampas kembali kerusi Parlimen Tanjung Piai daripada PH dengan majoriti 15,086 undi.

Calonnya, Wee Jeck Seng mendapat 25,466 undi, menewaskan pencabar terdekat daripada PH, Karmaine Sardini yang memperoleh 10,380 undi.

Calon Gerakan, Wendy Subramaniam meraih 1,707 undi, Badhrulhisham Abdul Aziz yang mewakili Parti Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa) mendapat 850 undi dan dua calon bebas, Ang Chuan Lock serta Faridah Aryani Abd Ghaffar masing-masing memperoleh 380 undi dan 32 undi.

Seorang penduduk Kampung Perpat, Mohd Haris Baharom, 70, pula mengigatkan PH menunaikan janji mereka terutama yang melibatkan golongan muda.



“Tak tunai janji, anak muda marah. Kemungkinan satu penggal sahaja.

“Anak-anak muda pegang pada janji, anak saya tiga orang belajar di univeristi dan janji PTPTN nak hapus tapi tak hapus,” katanya.

Penduduk Taman Mahkota Permas, Jalil Othman berkata dia memang menduga BN akan menang.

Jalil, 64, berkata PH banyak tidak mengotakan janji.



“Macam Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) banyak potong, bantuan sekolah tak bagi, jadi anak muda lari.

“Kalau macam ini, PRU15 BN boleh menang,” katanya.

Ketua Pemuda PAS Tanjung Piai, Firdaus Isa berkata kekalahan PH adalah isyarat rakyat mahu perubahan.

Firdaus, 35, berkata kerajaan PH banyak menyalahkan kerajaan lalu.



“Rata-rata penduduk di sini pekebun kecil dan nelayan, hidup susah. Jadi mereka perlu dibantu,” katanya.

Firdaus berkata faktor pengundi Cina juga beralih kepada BN juga antara menyebabkan PH kalah.

“Kepercayaan hilang, selain ekonomi jatuh menyebabkan perniagaan terjejas dan faktor calon Cina,” katanya.

Bagaimanapun seorang penduduk Kampung Serkat, yang dikenali sebagai Ah Teng berkata, dia kecewa dan hairan dengan pemikiran sempit pengundi Tanjung Piai.



Ah Teng, 44, berkata walaupun tidak begitu berpuas hati dengan prestasi PH, tetapi dia lagi tak berpuas hati dengan kerajaan dulu yang mana pemimpinnya banyak terlibat dengan rasuah.

“Sampai sekarang dalam kes mahkamah lagi. Kenapa tak boleh beri kerajaan PH sedikit masa.

“Sedangkan baru tadbir setahun setengah. Lagi pun pada pandangan peribadi, memandangkan penduduk, rakyat Malaysia kebanyakan tak memandang jauh, dia orang lebih pentingkan kehendak sendiri,” katanya.

Ah Teng berkata mereka tidak memikirkan kerajaan perlu memulihkan ekonomi, barulah kerajaan dapat menjaga rakyat dengan baik.

FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker