Faktor istito’ah ( Menunaikan Haji )

Share


ISTITO’AH atau kemampuan menunaikan ibadah haji bukan hanya tertumpu kepada kemampuan dari segi wang ringgit semata-mata.

Dalam al-Fiqh al-Manhaji (2/155) menyebut, kemampuan mempunyai dua jenis iaitu kemampuan secara langsung dan tidak langsung.

Kemampuan secara langsung bermaksud seseorang itu mampu melakukan sendiri ibadah haji dan umrah disebabkan masih berupaya iaitu badan yang sihat, sanggup menempuh perjalanan dan melakukan kerja ibadah berkenaan tanpa mengalami kemudaratan berat dan kesulitan tidak mampu ditanggungnya.

Kemampuan secara tidak langsung pula bermaksud seorang mukallaf yang memiliki harta mencukupi untuk mengupah orang lain mengerjakan haji bagi pihaknya sama ada semasa dia masih hidup atau selepas meninggal dunia.

Hal ini kerana dia sendiri tidak berupaya melakukannya disebabkan tua, berpenyakit dan seumpamanya.

Lajnah Tetap Fatwa Arab Saudi berkata, erti kemampuan dalam haji ialah sihat tubuh badan, mempunyai kenderaan untuk sampai ke Masjidil Haram, sama ada dengan kenderaan darat, udara mahupun laut.

Selain itu juga, seseorang jemaah itu mempunyai bekalan mencukupi sepanjang perjalanan bermula daripada awal perjalanannya ke Kota Makkah sehingga pulang.

Bekalan ini lebihan dari nafkah orang yang menjadi tanggungannya sehingga dia kembali dari melaksanakan ibadah haji.

Jika mereka yang menunaikan ibadah haji atau umrah adalah seorang perempuan, maka harus ada bersama mereka suami atau mahramnya.

Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, dalam melaksanakan ibadah haji, salah satu perkara perlu diselesaikan dahulu yang menjadi kewajiban bagi haji ialah perlunya ada istito’ah.

“Berdasarkan kepada sebuah hadis, apabila Nabi SAW ditanya mengenai lima istito’ah lisabilillah, Rasulullah berkata, “Adanya bekalan yang mencukupi baginya menuju ke Makkah sehingga pulang, disamping bekalan kepada keluarganya di bawah tanggungannya di tanah watannya.

Kedua ialah istito’ah dengan makna adanya kenderaan yang menyampaikan seseorang menuju ke Makkah. Maksudnya seperti kapal terbang atau apa-apa kenderaan yang selesa saat yang sama termasuk perjalanan menuju ke sana penuh dengan aman, tidak ada rusuhan, tidak ada perkara yang membawa ke arah peperangan dan seumpamanya.

“Itu makna istito’ah iaitu adanya kemampuan kewangan, bekalan dan juga adanya kenderaan yang menyampaikan ke sana di samping aman dalam perjalanan,” katanya.

Pada masa sama, istito’ah menunaikan haji juga terbahagi kepada beberapa faktor termasuk kuota atau kebenaran haji daripada kerajaan Arab Saudi, mahram, kesihatan dan keselamatan.

Dr Zulkifli berkata, dalam Mazhab Syafie, konteks keperluan mahram dilebarkan lagi mengenai kebolehan wanita pergi ke Makkah apabila wujudnya nisak thiqah.

Ia bermaksud jika ketiadaan suami atau mahram maka dibolehkan pergi bersama dua perempuan yang thiqah (dipercayai, amanah dan taat) dan memadai juga kepadanya seorang wanita yang thiqah.

“Alhamdulillah, inisiatif dari Tabung Haji (TH) amat jelas apabila adanya pihak tertentu yang sama-sama membantu sebagai satu keluarga besar haji.

“Justeru, kita anggap mahram adalah penting bahkan wajib, tetapi bentuknya yang pertama adalah mahram seperti adik-beradik, bapa begitu juga suaminya. Sekiranya tidak ada, wanita thiqah sebagaimana dinaskan dalam Mazhab Syafie diperlukan,” katanya.

Mengenai istito’ah dalam konteks kemampuan kesihatan mengerjakan haji, Dr Zulkifli berkata, kajian dibentangkan dalam muzakarah haji membahagikan kesihatan kepada dua.

“Pertama kesihatan yang sukar, kronik dan terpaksa menggunakan sejumlah besar perbelanjaan andai dipilih menjadi jemaah. Kita mengambil keputusan mereka tidak termasuk dalam golongan istito’ah dan dia boleh dibadalkan hajinya kerana tidak mampu atau mempunyai kesukaran untuk menyelesai serta menyempurnakan ibadah haji.

“Kedua, sakit yang dianggap sebagai tidak kronik seperti asma, kencing manis, darah tinggi, gaot atau seumpamanya yang memungkinkan dengan menggunakan ubat-ubatan atau dengan bantuan Tabung Haji melalui pegawai kesihatan yang ditugaskan, maka di situ kemampuan kesihatan seperti itu dibolehkan.

“Tetapi, kita juga perlu mengambil inisiatif atau ikhtiar dengan mencukupkan sedikit kewangan khusus untuk ubat-ubatan kerana bimbang jika kehabisan ubat dan perlu membelinya di farmasi,” katanya.

Masalah kuota atau kebenaran mengerjakan haji dikeluarkan Kerajaan Arab Saudi juga termasuk dalam istito’ah bagi menghormati polisi sesebuah negara kerana asas dipegang dan dilaksanakan mereka.

Kata Dr Zulkifli, sekali pun kita bertubuh sihat, duit mencukupi bahkan melebihi serta memenuhi semua syarat, seseorang jemaah itu tidak dianggap istito’ah, bahkan perlu menunggu hingga sampai giliran sampai barulah dikira istito’ah.

“Kita kena faham, bukan kita sahaja, tetapi seluruh umat Islam dari pelusuk dunia mahu melaksanakan haji termasuk negara minoriti Islam seperti Amerika Syarikat, England, Perancis, Jerman atau Jepun. Itu belum lagi negara yang mempunyai jumlah orang islam ramai seperti Indonesia, Turki, Mesir juga Malaysia.

“Justeru, meraikan dan mematuhi isu mengenai kuota haji atau kebenaran haji yang dipanggil tashrih (kebenaran melaksanakan ibadat haji) adalah perkara yang juga termasuk dalam Istito’ah haji,” katanya.

Melakukan haji dalam hati tenang dan sempurna melayakkan seseorang mendapat haji mabrur.

Justeru, keselamatan dalam mengerjakan ibadah haji juga termasuk istito’ah.

Menurut Dr Zulkifli, keselamatan pertama harus dilihat sebaiknya adalah kepada diri sendiri dan kaum keluarganya.

“Isu keselamatan juga dilihat dalam bentuk lebih luas iaitu dari segi dasar dikemukakan atau pandangan negara seperti berlakunya pergolakan atau musibah yang membawa kepada ketidakamanan dan memberi risiko kepada jemaah haji seperti yang dikeluarkan Wisma Putra.

“Ketika itu, keselamatan hendaklah diambil kira kerana keamanan dalam perjalanan, di tempat tujuan dalam melaksanakan ibadah haji penting yang perlu kita fahami sebaiknya supaya ibadah haji dilakukan dalam keadaan hati tenang dan sempurna akhirnya dengan kesempurnaan melayakkan seseorang mendapat haji mabrur.

“Andai berlakunya sebarang ancaman dalam perjalanan, peperangan menuju ke Tanah Suci yang tidak mempunyai jaminan keselamatan atau wabak besar yang menyebabkan kepada kebinasaan, keselamatan tempat yang kita tuju itu dalam keadaan tidak memenuhi spesifikasi yang sebenarnya ia juga membawa kepada ketidakwajiban dalam menunaikan ibadah haji kerana tidak dianggap sebagai istito’ah,” katanya.



Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *