Jentera PH begitu dahsyat, BN hanya pertaruh keikhlasan – Najib

Datuk Seri Najib

Datuk Seri Najib Razak menyifatkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai adalah satu medan perjuangan yang amat sukar kerana jentera dan sumber yang ada pada Pakatan Harapan (PH) begitu dahsyat sekali.

Dakwa beliau, kira-kira RM30 juta ditabur oleh Kerajaan Persekutuan serta negeri dan angka ini mungkin melambung lebih jika diambil kira dana politik mereka.

Katanya, PH membuat iklan politik di muka depan akhbar Sinar Harian dan New Straits Times meminta rakyat mengundi PH.

Ini, katanya, belum ditambah lagi kad prabayar percuma, minyak masak dan macam-macam lagi “hadiah” untuk penduduk Tanjung Piai.



Malah ada menteri-menteri yang masih berkempen pada hari mengundi sedangkan ini tidak dibenarkan.

Sama ada kesemua ini mematuhi peraturan, undang-undang dan etika kempen, hanya Suruhanjaya Pilihan Raya dan Bersih 2.0 boleh jawab.

“Namun sama seperti di Cameron Highlands, Semenyih dan Rantau, atau kes-kes lain melibatkan kesalahan Pakatan Harapan, ramai masih tertanya akan tindakan lanjutan yang akan diambil.

“Tiada demonstrasi yang akan dianjurkan. Tiada sesiapa yang akan bergolek di jalan raya atau bermalam di Dataran Merdeka.



“Inilah realitinya hari ini,” kata bekas Perdana Menteri itu sambil mendakwa kempen dan jentera Barisan Nasional terikat dan berhadapan dengan ketidakadilan ini.

Bagaimanapun, katanya, BN tidak akan tunduk kepada mana-mana kuasa kecuali kuasa rakyat, lantas menyebabkan BN tidak putus asa.

“Jentera Barisan Nasional dan calon kita Wee Jeck Seng hanya berbekalkan mikrofon, ucapan dan kemesraan bersama pengundi.

“Kita bawa keikhlasan dan senyuman berjumpa dengan pengundi sahaja,” katanya lagi.



Tambahan pula, Jeck Seng yang juga orang lama di Tanjung Piai mempunyai hubungan baik dengan masyarakat setempat.

“Warga pengundi Tanjung Piai, terima kasih kerana memberikan keyakinan sekali lagi kepada Wee Jeck Seng untuk mewakili tuan-tuan dan puan-puan semua.

“Kuasa di tangan rakyat dan ini adalah kemenangan rakyat. It is the people’s victory,” kata Najib yang turut
merakamkan penghargaan kepada jentera Barisan Nasional, parti-parti komponen dan para penyokong yang telah berkempen sepanjang masa ini.

Najib juga merakam terima kasih kepada rakan-rakan dari Pas.



“Presiden Tuan Guru Datuk Seri Hadi Awang, Timbalan Presiden Tuan Ibrahim Tuan Man, Setiausaha Agung Datuk Takiyuddin Hassan, seluruh barisan kepimpinan PAS serta ahli-ahli PAS.

“Terima kasih kerana kejayaan kita di Tanjung Piai juga adalah atas sumbangan tenaga dan sokongan saudara-saudari.

“Rakyat telah menghantar mesej yang jelas kepada Pakatan Harapan,” katanya.

Dalam pada itu, Najib meminta PH sedar tentang janji manis dan cakap kosong telah menyusahkan rakyat.



“Cukuplah dengan pembohongan dan fitnah. Malaysia kini dalam krisis, rakyat kini menghadapi krisis,” ujar beliau.

Najib bertekad, beliau dan rakan-rakan akan menggenggam erat kepercayaan dan keyakinan yang diberikan, malah akan berdiri bahu ke bahu dalam memperjuangkan isu-isu rakyat. – MalaysiaGazette

Peruntukan untuk pengurusan beberapa kementerian telah turun dengan dahsyat sekali.



 

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker