BN Perak enggan terlibat gerakan PH ‘guling’ MB

Barisan Nasional (BN) Perak memaklumkan pihaknya tidak mahu terlibat dengan gerakan terbaru mengulingkan Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu yang didakwa digerakkan komponen Pakatan Harapan (PH).

Pengerusinya, Saarani Mohamad berkata pembangkang Perak memutuskan tidak mahu terpalit dengan gerakan kotor tersebut dan menganggap ia masalah dalaman yang patut diselesaikan sendiri oleh PH.

“Kami tidak terlibat dan tidak akan melakukan kerja kotor itu, sebab kita katakan kita tak mahu terlibat dengan perbalahan atau pertelingkahan dalaman dalam PH, kami jaga kami sahaja.

“Kita jaga Umno, BN sahaja dan sekarang kita dengan PAS dalam muafakat nasional, soal cerita PH kami tidak campur,” katanya kepada FMT.



Beliau mengulas isu penularan video gerakan terbaru dalam cubaan mengulingkan Faizal sekali lagi daripada memegang jawatan menteri besar Perak yang didakwa digerakkan oleh salah seorang exco.

Saarani berkata semua 25 Adun Umno dan tiga Adun PAS dari Perak kekal setia bersama blok pembangkang dan menumpukan usaha menawan kerajaan Perak dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

“Kami semua sedang bersiap sedia menghadapi PRU15,” katanya sambil memaklumkan kemelut di Perak akan memangsakan rakyat.

Terdahulu Exco Perak Aziz Bari menepis klip video memaparkan beliau menceritakan strategi untuk menyingkir Faizal, setahun selepas pemimpin PPBM itu menyangkal khabar angin mengatakan beliau akan digantikan.



“Bila sidang Dewan Undangan Negeri sahaja timbul isu nak menjatuhkan menteri besar…saya dah sebut banyak kali dah saya tak terlibat,” kata Aziz.

Dalam video lima minit yang dimuatnaik di YouTube oleh penulis blog, Raja Petra Kamarudin, Aziz didengar merujuk kepada seorang lelaki PPBM yang bergelar “Haji”, yang memberitahunya mereka mahu menggantikan Faizal.

Beliau juga mendakwa ada bercakap dengan Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub bagi mendapat sokongan daripada enam Adun parti itu di Perak.

Katanya, dengan sokongan PKR, dia boleh mendapat sokongan 28 Adun Perak.



Aziz juga berkata rakan-rakan exconya, bekas menteri besar Mohamad Nizar Jamaluddin serta Asmuni Awi, yang kini bersama Amanah, tidak layak untuk jawatan MB.

Krisis kepimpinan Perak pernah tercetus beberapa kali sebelum ini sejak PH memenangani PRU14.

Mac lalu, BN Perak pernah mendedahkan usaha memujuk wakil rakyat mereka bagi menggulingkan Faizal masih diteruskan.

Berdasarkan perjanjian sebelum PRU14, jawatan menteri besar Perak akan diisi wakil PPBM jika PH berjaya menawan negeri itu.



FMT

[KGVID]https://mykmu.net/wp-content/uploads/2019/11/VID-20191114-WA0096.mp4[/KGVID]

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker