#PrkTgPiai : Penerimaan Rakyat Di Tg Piai Tolak Isu Rasis, Perkauman – Annuar

Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa menegaskan bahawa penerimaan baik masyarakat terhadap calon Barisan Nasional (BN) di Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, Datuk Seri Dr Wee Jack Seng membuktikan bahawa tiada lagi isu rasis atau perkauman bukan saja dalam BN tapi juga antara UMNO dan PAS.

Katanya, walaupun Dr Wee bukannya beragama Islam tetapi beliau selalu membantu semua lapisan masyarakat tidak mengira agama atau bangsa dan begitu juga dengan UMNO dan PAS yang membantu kempen sepanjang tempoh tersebut.

“Hari ini kita lihat Dr Wee mempunyai sokongan dan mampu menang di PRK ini malah saya percaya orang-orang Cina juga akan lebih yakin dan percaya bahawa UMNO dan PAS bukannya Taliban.

“Saya harap tiada lagi isu yang menggunakan agama dan perkauman selepas ini kerana kita dah tunjukkan,” katanya dalam ceramah umum di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Melayu Raya, di sini Rabu malam.

Jelasnya, kekuatan orang Melayu bermula dengan kesatuan dan penyatuan yang berpaksikan agama Islam, maka jika orang-orang Melayu bersatu dan kuat sudah pastinya tidak akan terjadi perbalahan.

“Kalau orang Islam berpecah dan berkelahi maka kita tak payah memimpin dan kita akan hilang kekuatan. Kalau kita bersatu kita akan jadi kuat, inilah yang telah mengikat kesatuan dan penyatuan orang-orang Melayu.

“Kita mahu lihat Islam dipandang mulia dan adil. Kita mahu Islam berkuasa di bawah naugan kita,” katanya.

Hadir sama dalam program ini ialah Pengerusi BN (BN) Johor, Datuk Ir Hasni Mohamad; Pengerusi BN Perak, Datuk Saarani Mohamad; Ahli Dewan Negara, Senator Khairul Azwan Harun; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parit Raja, Nor Rashidah Ramli; Ketua UMNO Bahagian Tanjung Piai, Datuk Jefridin Atan dan Ketua UMNO Bahagian Sri Gading, Datuk Ali Sheikh Ahmad.

Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh turut menjelaskan bahawa calon BN P165 Tanjung Piai, Dr Wee adalah calon yang terbaik dan diyakini dapat merampas kembali kerusi ini.

“Dr Wee pastinya setia dengan BN, walaupun beliau bukan Islam tapi ‘zimmi’. Beliau sedia membantu kita untuk mendapatkan kekuatan.”

Tambahnya lagi, semenjak merdeka parti MCA sehingga kini masih tetap setia dan tidak akan meninggalkan UMNO.

“Kita kena membuktikan pada dunia bahawa UMNO dan PAS lebih baik dari parti-parti lain dalam negara kita yang berbilang kaum. Akhirnya Islam dipandang mulia seantero dunia,” katanya lagi. – UMNO ONLINE

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker