Penurunan SRR tanda ekonomi bermasalah – Mazli Noor

Seorang pemimpin PAS Pusat mendakwa langkah Bank Negara Malaysia menurunkan nisbah Keperluan Rizab Berkanun (SRR) daripada 3.5 peratus kepada 3 peratus adalah tanda ekonomi sedang bermasalah.

Timbalan Pengerusi Lajnah 2 Ekonomi, Hartanah dan Pembangunan Usahawan, Mazli Noor berkata bank pusat itu perlu memperkenalkan langkah yang nyata berbanding memudahkan aliran lebih banyak wang ke dalam ekonomi.

“Kadar SRR kali terakhir diturunkan daripada 4 peratus kepada kadar semasa pada 2016 untuk kesan yang sedikit, menunjukkan bahawa langkah yang berorientasikan jangka panjang dan lebih konkrit diperlukan untuk meningkatkan tahap kecairan dalam ekonomi negara,” kata Mazli dalam satu kenyataan hari ini.

Isnin lalu, Bank Negara mengumumkan bahawa nisbah SRR akan diturunkan kepada 3.0 peratus daripada 3.5 peratus berkuat kuasa 16 Nov 2019 untuk memastikan mudah tunai yang mencukupi dalam sistem kewangan domestik.

Bank Negara juga berkata langkah itu akan terus menyokong pasaran kewangan domestik untuk berfungsi dengan cekap serta memudahkan pengurusan mudah tunai yang berkesan oleh institusi perbankan.

Mazli, bagaimanapun berkata bank pusat itu juga perlu memperkenalkan langkah-langkah tambahan memandangkan pakar ekonomi menjangkakan RM7.4 bilion kecairan akan dimasukkan dalam sistem perbankan dengan pengurangan SRR sebanyak 50 mata asas itu.

“Ini termasuk langkah-langkah yang meyakinkan dan boleh diukur untuk menggalakkan sektor perbankan meningkatkan pinjaman – terutamanya kepada Perniagaan Kecil dan Sederhana (PKS) – dan mengambil peluang sepenuhnya daripada keputusan BNM,” katanya.

Beliau berkata kecairan tambahan yang akan diperolehi itu harus dipindahkan segera ke dalam sistem ekonomi bagi memacu pertumbuhan dan mengelakkan berlaku ‘liquidity trap’.

Mazli berkata Bank Negara perlu mempertimbangkan langkah membekalkan kecairan dan dalam masa sama menyediakan dana untuk pembangunan ekonomi dengan membeli bon-bon kerajaan.

Mkini

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker