Tuduh UMNO Rasis: Guan Eng ‘Lemas’ Dalam Pembohongannya Sendiri

Menteri Kewangan Lim Guan Eng telah dilihat sebagai gagal dalam menguruskan urus ekonomi negara selain seorang pemimpin parti yang sentiasa memainkan sentimen perkauman.

Tindakannya yang menuduh UMNO dan PAS sering menggunakan isu perkauman adalah tanda Setiausaha Agung Dap itu kehabisan modal dan lemas dalam dakyahnya sendiri, demikian tegas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

“Guan Eng sudah kehabisan modal bilamana calon yang dipilih untuk mewakili Tanjung Piai ini adalah daripada MCA. Ini menunjukkan bahawa Muafakat Nasional lantainya semakin hari semakin luas.

“Dahulu dilihat bahawa kerjasama UMNO PAS ini akan menjadi suatu ancaman kepada bukan Melayu. Terbukti amat meleset kerana calon Muafakat Nasional adalah calon bukan Melayu, calon MCA.

“Dan ini menjadikan dia dalam keadaan rimas, lemas sebab dia tidak ada jawapan kepada pembohongannya yang awal,” katanya kepada UMNO Online, ketika ditemui selepas selesai ziarah kasih di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Pengkalan Raja Pontian, di sini baru-baru ini.

Ulasnya juga, tindakan jurucakap Dap dari pemimpin Parti Amanah Negara (Pan) Datuk Mahfuz Omar juga membuktikan Pakatan Harapan (PH) adalah rasis.

“Sebab itu semalam apabila Mahfuz yang membuat kenyataan rasis ‘macam mana pak lebai PAS boleh pilih di kalangan yang bukan Melayu, tetapi kita pilih pak lebai Melayu’, siapakah yang rasis sekarang? Bukankah PH yang rasis.

“Kalau benar mereka tidak rasis tentu sekali mereka menerima demokrasi terbuka. Calon boleh datang daripada pelbagai wajah, semua lapisan rakyat dan masyarakat,” tegas Ahli Parlimen Kepala Batas itu lagi.

Oleh kerana itu jelasnya, sebagai pendukung Muafakat Nasional, BN menonjolkan calon daripada MCA, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng di dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai.

“Ini kerusi MCA walaupun semua tahu orang Melayu ada lebih kurang sekitar 57 peratus dan orang pun dalam keadaan sentimen yang cukup kuat letak Melayu boleh sahaja menang.

“Tapi UMNO ini bukan tamak, yang lebih penting Muafakat Nasional yang hendak dizahirkan ini jiwa dan perasaannya jauh lebih luas daripada kepalsuan yang ditonjolkan oleh PH,” katanya. – UMNO ONLINE

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker