Azmin layak rasmi kongres Pemuda? Ketua sayap muda PKR dan timbalan berbalah

Share


Pimpinan Pemuda PKR hari ini dilihat berbalah sesama sendiri berhubung isu sama ada Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali wajar terus menjadi perasmi kongres nasional tahunan sayap parti itu pada 6 Dis ini atas kapasiti sebagai orang nombor dua parti.

Menjelaskan situasi yang timbul, Ketua Pemuda PKR Akmal Nasir berkata, sebarang keputusan penganjuran kongres itu diputuskan melalui Mesyuarat Majlis Pimpinan Pemuda PKR yang berlangsung pada 20 Okt lalu.

“Oleh itu adalah lebih wajar untuk mana-mana kepimpinan Pemuda PKR merujuk saluran yang ada sebelum membuat kenyataan terbuka tidak tepat.

“Saya ingin mengingatkan usaha menggilap muafakat dan kesatuan dalam perjuangan harus bermula dengan setiap anggota perlu menghormati kepimpinan parti, perlembagaan dan keputusan-keputusan mesyuarat parti,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Akmal berkata demikian merujuk kenyataan bersama Timbalan Ketua Pemuda PKR, Muhammad Hilman Idham bersama 20 pimpinan Pemuda PKR seluruh negara yang mengkritik Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail yang dikatakan membatalkan jemputan kepada Azmin.

Menerusi kenyataan itu, 21 daripada 25 pimpinan pemuda PKR berkata tindakan Saifuddin hanya mencerminkan parti itu dilanda krisis kepimpinan menyebabkan ia kucar-kacir.

“Kami berpendirian bahawa sikap dan tindakan membatalkan jemputan tersebut merupakan suatu langkah yang sama sekali bertentangan dengan semangat kongres serta konvensyen dan tradisi organisasi.

“Justeru itu, tindakan pembatalan dan kenyataan setiausaha agung tersebut juga akan memberi mesej dan teladan yang salah kepada anggota khususnya generasi baru dalam PKR. Melainkan, jika setiausaha agung mahu perpecahan dan keberantakan dalam parti ini terus berlaku.

“Maka, kami menyeru supaya kepimpinan parti mengambil langkah yang tegas untuk mengembalikan PKR di atas landasannya, menggembeleng muafakat dan kesatuan anggota serta mempertahankan konvensyen dan tradisi organisasi,” kata mereka.

Mengulas lanjut, Akmal berkata kongres nasional tahunan ini adalah platform penting menghimpunkan ahli dan kepimpinan akar umbi dari seluruh negara dan memaklumkan Pemuda PKR sendiri bertanggungjawab dalam menyusun dan melaksanakan perjalanan kongres termasuklah urusan perasmian.

“Maka mesyuarat majlis pimpinan pemuda PKR Malaysia menetapkan perasmi kongres nasional tahunan ini adalah Timbalan Perdana Menteri Wan Azizah Wan Ismail, merangkap penasihat PKR. Pemuda PKR bertanggungjawab memberi mesej jelas kepada seluruh anggota PKR.

“Pemuda PKR akan kekal teguh mendokong kepimpinan parti yang sekaligus memelihara tradisi perjuangan PKR. Ini menjadikan PKR kekal sebagai sebuah parti yang utuh dan dinamik. Pemuda PKR akan menjadikan kongres ini sebagai platform untuk menyuarakan isu-isu.

“Ia demi kepentingan rakyat terutamanya anak muda seperti pendidikan, peluang pekerjaan serta kos sara hidup dan bukannya isu politik kelompok yang berkepentingan,” katanya.

Kongres Nasional Pemuda PKR akan berlangsung pada 6 Disember ini di Melaka International Trade Centre (MITC).

Terdahulu, Saifuddin dilaporkan menyerahkan kepada sayap Pemuda parti itu untuk mengundang pemimpin pilihan mereka bagi merasmikan kongres pada bulan depan. Saifuddi berkata, beliau tidak terlibat dalam memilih pemimpin untuk terlibat dalam kongres tersebut.

Azmin pula meminta media menghalakan pertanyaan kepada Saifuddin susulan laporan mengatakan Pemuda PKR tidak mahu beliau merasmikan kongres mereka tahun ini, sebaliknya akan mengundang bekas presiden, Wan Azizah Wan Ismail.

FMT



Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *