Adakah saya penyokong Pas – Hoong Ling

Saya penyokong PAS?

SEBENARNYA sudah lama saya menyokong perjuangan PAS dalam diam tetapi saya masih mempunyai tanda tanya yang perlu penjelasan. Perjuangan PAS sederhana, mengutip derma dari saudara seperjuangan dan konsisten objektif mereka dari awal penubuhan sehingga kini.

Betulkan kenyataan saya kalau silap (mohon kemukakan bukti atau hujah bernas) bahawa PAS jugalah parti politik yang menampilkan pemimpin yang tidak rasuah, malah berpendidikan tinggi. Ramai yang berkelayakan jurutera, pendidik, guru, doktor dan pemegang ijazah falsafah.

Allahyarham Tok Guru Nik Aziz begitu terserlah kesederhanaan hidup dan mendakap kehidupan masyarakat majmuk pelbagai kaum dan agama. Apabila saya melawat negeri Kelantan, saya gembira melihat perpaduan kaum yang amat jelas di situ. Rata-rata rakyat Kelantan begitu senang kecek Kelate – Melayu, Cina, India, Siam juga begitu. Kalau dikatakan agama Islam itu ekstrem atau mundur, masakan ada patung Buddha terbesar di Asia (kedua terbesar di dunia) di negeri Cik Siti Wan Kembang itu? Terkejut juga saya melihat keterbukaan orang ramai dari pelbagai agama berkunjung apabila Tok Guru Nik Aziz disahkan meninggal dunia. Sudah pasti allahyarham banyak berhubung dan berkerjasama dengan pemimpin agama-agama lain sehingga mendapat penghormatan terakhir yang sebegitu rupa.



Hari ini saya bertuah dapat berdialog dengan seorang kawan baru, Haji Jali yang juga merupakan seorang ahli PAS. Beliau menyertai kursus di mana saya menjadi jurulatihnya. Secara jujur, saya juga sangsi sedikit sebab masih banyak tanda tanya. Maklumlah, sebab saya belum memahami sepenuhnya.

Haji Jali amat terbuka dalam perbualan kami, sentiasa merendah diri dan mengatakan tiada masalah jika kami bercanggah pendapat sebab sudah tentu saya mempunyai pegangan dan pandangan saya. Namun, beliau meluahkan juga pandangan beliau yang mengundang perbincangan. Saya pun terbuka bicara meluahkan soalan-soalan yang dah lama terpendam dalam kesangsian saya terhadap PAS. Satu per satu dijelaskan – dari hukum hudud, perbezaan undang-undang sivil dan hudud, perjuangan PAS yang bertukar “partner”, sehinggalah ke PRK Tanjung Piai ini. Kerap kali beliau memujuk saya dengan berkata tiada masalah kalau saya tak setuju tetapi itulah perjuangan PAS.

Benar-benar kerana kesabaran dan keterbukaan Haji Jali yang membuka mata dan hati saya terhadap PAS. Gabungan PAS-UMNO sebenarnya membimbangkan masyarakat Cina. Walaupun saya cukup terbuka dengan agama Islam, ramai kawan-kawan Melayu, fasih berbahasa kebangsaan malah boleh menulis dan membaca Jawi, saya belum dapat menerima hukum hudud. Saya akui, saya jugalah yang berceramah menentang hudud PAS dalam PRU13, modal politik kan?

Haji Jali memberikan pendekatan yang berlainan, perbandingan hukum hudud dengan sivil dan beberapa hujah apabila saya bertanya tentang hukuman untuk perogol/yang berzina yang memerlukan 4 orang saksi, hukuman potong tangan, rejam dan sebagainya. Walaupun saya merasakan masyarakat majmuk di Malaysia (termasuk ramai yang Melayu) belum bersedia menerima hudud, tapi saya lebih jelas memahami perjuangan PAS untuk hudud. Saya juga lebih memahami negara Islam yang diperjuangkan oleh PAS yang menjaga kepelbagaian kaum dan agama di Malaysia.



Perbualan kami memberi keyakinan kepada saya bahawa MUAFAKAT NASIONAL yang diketengahkan oleh PAS dan UMNO turut akan membela nasib orang bukan Islam di negara kita. Apa-apa pun, kita buka mata dan hati, memerhati dan biarlah MN ini membuktikan keikhlasan mereka. Actions speak louder than words, maka sudah pasti setiap tindak tanduk diperhatikan dan dinilai oleh masyarakat umum.

Rakyat cuma menagih kehidupan yang lebih selesa, ekonomi yang terancang dan pembangunan yang teratur serta kebajikan terpelihara. Semoga negaraku Malaysia terus maju, aman dan makmur.

Ini pendapat peribadi saya dan sudah pasti ramai yang akan membuang telur kat saya. Silalah.

CHEW HOONG LING



Dari FB Hoong Ling

Related Articles

One Comment

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker