#PrkTgPiai : Ceramah hambar kerana penduduk tak suka keluar malam – Calon PH

Share


PONTIAN – Kecenderungan penduduk lebih gemar berada di rumah pada waktu malam merupakan antara punca ceramah parti-parti politik untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai kelihatan agak hambar.

Itu kata calon Pakatan Harapan (PH), Karmaine Sardini. Sebagai anak tempatan, beliau memahami situasi tersebut dan tidak bimbang mengenainya kerana mempunyai pendekatan untuk menemui pengundi.

“Orang di sini (Tanjung Piai) memang begini. Mereka tak nak keluar. Lepas Isyak, mereka lebih suka duduk di rumah.

“Bukan disebabkan mereka ada kekangan, cuma mereka tidak berasa selesa (keluar malam) sebab itulah kita pergi rumah ke rumah untuk memastikan mesej sampai kepada pengundi,” katanya ketika ditemui luar pekarangan Sekolah Kebangsaan Batu 24 Pekan Nanas hari ini.

Bernama melaporkan, Ketua Bersatu Bahagian Tanjung Piai itu berkata, kehadiran yang hambar mungkin juga disebabkan masyarakat sudah mula berasa bosan dengan politik negara yang berterusan.

“Politik kita ini berterusan. Selepas pilihan raya umum pun, kita masih politik lagi. Mungkin inilah mesej sebenarnya bahawa mereka (penduduk) yang tidak mahu huru-hara,” katanya yang turut tidak menolak kemungkinan bahawa sikap sebegini akan menjejaskan peratusan keluar mengundi pada Sabtu ini.

“Kemungkinan ada (peratusan keluar mengundi kurang) tapi kita minta mereka keluarlah mengundi kerana PRK ini tak kurang pentingnya macam pilihan raya umum untuk memastikan pembangunan negara berjalan,” katanya.-BERNAMA



One thought on “#PrkTgPiai : Ceramah hambar kerana penduduk tak suka keluar malam – Calon PH

  • November 12, 2019 at 7:44 am
    Permalink

    Iye ke wak?
    Ate buat le siang entah2 lagi rame yg datang atau ntah2 lagi kosong dewan….

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *