Bela diri bukti Najib seorang yang berani – Hishammuddin

Keputusan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memilih membela diri menerusi keterangan bersumpah membuktikan beliau seorang yang berani untuk berdepan dengan pertuduhan membabitkan dana RM42 juta SRC International Sdn Bhd (SRC).

Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, dipanggil membela diri membuktikan bahawa Najib masih tidak bersalah selagi tidak dibuktikan bersalah.

“Kita kena tengok proses mahkamah dan Najib dah buat keputusan untuk buat kenyataan bersumpah mahkamah dan diberikan ruang disoal balas pendakwaan. Itu satu keputusan tepat dan berani.

“Kerana rata-rata orang dalam kes ini nak lihat kebenaran, kita nak tengok proses keadilan itu berjalan supaya orang ramai dapat lihat sendiri apa kebenarannya.

“Bila dia nak bagi bukti serta merta, rela disoal, balas saya rasa ia membenarkan proses untuk kita mencari kebenaran,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan media adakah keputusan mahkamah itu akan menjejaskan peluang Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai.

Ditanya mengenai dakwaan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam mendakwa wujud campur tangan Dr Mahathir membabitkan kes dihadapi Najib.

Bekas Naib Presiden UMNO itu berkata, beliau tidak fikir Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan bertindak campur tangan dalam kes melibatkan Ahli Parlimen Pekan itu.

“Kita dituduh macam itu masa kita jadi kerajaan. Asasnya pada akhirnya, institusi kehakiman mesti mempertahankan maruah, kredibiliti dan integriti mahkamah itu sendiri,” katanya.

Semalam, Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali mengarahkan Najib untuk membela diri terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram melibatkan sejumlah dana bernilai RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Keputusan itu dibuat selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie di akhir kes pendakwaan.

Dalam penghakimannya, Mohd Ghazali berkata, Najib mempunyai kepentingan dalam SRC dan kawalan penuh menyebabkan RM42 juta didepositkan ke akaun bagi kepuasan beliau. -MalaysiaGazette

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker