Lagi ahli parlimen rebah dalam dewan

Baru kira-kira setengah jam berlangsung, sidang Dewan Rakyat pagi ini terpaksa dihentikan seketika apabila Anggota Parlimen Kuala Pilah, Eddin Syazlee Shith, pitam dan rebah di kerusinya.

Kejadian itu berlaku kira-kira jam 10.30 pagi semasa Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad sedang menjawab soalan daripada Salim Sharif (BN- Jempol) dalam sesi jawapan lisan.

Difahamkan Eddin ketika itu baru memasuk dewan apabila beliau tiba-tiba terduduk selepas pitam.

Raja Kamarul Bahrin yang sedang menjawab soalan Salim tentang pembelian aset bomba untuk tujuan menangani pembakaran hutan serta maklumat tentang kos lawatan menteri KPKT ke Itali berhenti seketika apabila melihat Eddin rebah di tempat duduknya.

Hal itu menyebabkan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Mohd Rashid Hasnon, menghentikan sidang seketika dan memanggil petugas kesihatan masuk untuk menghulurkan bantuan kepada Eddin.

“Ahli-ahli Yang Berhormat, dewan berhenti rehat sebentar untuk beri perhatian kepada timbalan menteri (Eddin).

“Minta bantuan doktor perubatan,” katanya.

Pada 21 Oktober, Mansor Othman (PKR-Nibong Tebal) mengejutkan ahli parlimen apabila rebah semasa membahaskan Belanjawan 2020.

Selepas bantuan awal, Mansor kemudian dilaporkan sedar semula dan dibawa keluar dari dewan dengan kerusi roda.

Sidang tertangguh kira-kira lima belas minit sebelum disambung semula jam 10.43 pagi.

“Minta bertenang, dan berdoa agar YB-YB sihat walafiat,” kata Rashid sebaik menyambung semula sidang.

Sementara itu Eddin dibawa meninggalkan Dewan Rakyat menggunakan kerusi roda kira-kira 5 minit selepas dibantuk kakitangan perubatan.

Beliau dilihat tersenyum dan sempat melambai kepada wartawan yang membuat liputan di lobi.

Mkini

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker