Jenazah yang mula-mula disolatkan adalah jenazah As’ad Ibn Zurarah

Adakah solat jenazah itu hanya ke atas umat Nabi Muhammad SAW? Bila ia mula disyariatkan, ketika di Makkah atau Madinah?

Mengikut pendapat setengah ulama, solat jenazah hanya tertentu ke atas umat Nabi Muhammad dengan kaifiat dan caranya yang tertentu iaitu empat kali takbir.

Selepas takbir pertama (takbiratulihram) membaca surah al-Fatihah, selepas takbir kedua membaca selawat ke atas Nabi, selepas takbir ketiga membaca doa untuk si mati dan selepas takbir keempat memberi salam.

Ia mula disyariatkan di Madinah pada peringkat awal hijrah. Oleh itu, Sayidatina Khadijah dikebumikan tanpa disembahyangkan jenazahnya.

Adapun jenazah yang mula-mula disembahyangkan oleh Rasulullah di Madinah sebelum dikebumikan ialah As’ad Ibn Zurarah.

Orang pertama Rasulullah solat jenazah di atas kuburnya ialah al-Bir Ibn Ma’rur dan orang pertama Rasulullah mengerjakan solat jenazah ghaib ialah Najasyi.

Apa hukum jika seorang makmum bagi solat jenazah masbuk sedangkan imamnya sudah mendahului beberapa takbir, (selepas takbiratulihram).

Ia mengikut imam sehingga imam memberi salam. Lalu, dia pun melakukan apa yang diwajibkan ke atasnya seperti membaca al-Fatihah, selawat ke atas Nabi, berdoa untuk jenazah kemudian baru memberi salam. Adakah diterima solatnya?

Diterima serta memadai selain solatnya juga dikira sah. Sama ada dia mengetahui atau tidak beberapa takbir imamnya yang lebih kerana takbir itu adalah harus bagi imam.

Adakah berdoa itu mesti dikhususkan bagi jenazah berkenaan atau tidak? Bagaimana pula sekiranya jenazah itu kanak-kanak atau orang gila yang sememangnya tidak berdosa?

Wajib dikhususkan doa bagi jenazah lebih-lebih lagi yang berkaitan dengan kehidupan di alam akhirat dan bukan berkaitan dengan kehidupan dunia seperti:

“Ya Allah, peliharakanlah apa yang jua yang ditinggalkannya daripada sebarang bentuk kezaliman.”

Bahkan, memadai sekurang-kurangnya doa seperti: “Ya Allah, Engkau sempurnakanlah segala hutang piutangnya.”

Dengan cara demikian, maka akan terlepas rohnya daripada kurungan. Mengikut pendapat Syeikh Ibn Hajar dalam Syarah Irsyad, hendaklah doa itu dikhususkan bagi mayat walaupun ia kanak-kanak kecil, bahkan jika jenazah itu sudah ditetapkan sebagai penghuni syurga sekalipun kerana ia dapat menambahkan darjatnya seperti kita berdoa ke atas nabi dan rasul.

Mengikut pendapat setengah ulama, jika jenazah itu kanak-kanak, maka tidak perlu dikhususkan doa untuknya.

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker