Faizal munafik, tak layak jadi MB – Pengerusi PKR Perak

Share


Pengerusi PKR Perak Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak menyifatkan kenyataan Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu berkenaan DAP sebagai sangat memalukan.

Malah Farhash berkata pemimpin Bersatu itu tidak layak menjadi menteri besar.

“Silalah bermuhasabah diri dan meminta maaf secara terbuka kepada rakyat Malaysia sebelum ia mengeruhkan keadaan sehingga memberi impak kepada calon PH Karmaine Sardini dalam PRK Tanjung Piai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya lagi, jika Faizal menganggap DAP sebagai musuh dalam kerajaan negeri, beliau tidak seharusnya menjadi menteri besar Pakatan Harapan (PH).

“Mandat yang dikongsi bersama tidak harus dipertikaikan.

“Malah sudah menjadi tugasnya untuk meyakinkan rakyat akan ketelusan pakatan ini. Mengapa masih mahu mengamalkan politik bersifat perkauman yang jijik dalam Malaysia baru?,” soalnya yang juga setiausaha politik Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Farhash turut menyifatkan Faizal sebagai “munafik” kerana memperlekehkan menteri PH dan mengutamakan hubungannya dengan anggota Umno, selain mendakwanya “melindungi amalan korupsi rakan-rakannya dalam Umno”.

“(Ia) menjelaskan mengapa wujud pemberian kontrak Marris (Garis Panduan Tatacara Pengurusan Pemberian) tanpa tender dan isu pembalakan haram melibatkan pencabulan hak Orang Asli yang masih berlarutan.

“Sebelum ini saya pelik mengapa para penasihatnya bagaikan tidak melakukan tugas kerana wujud isu tertangguh seperti lantikan ahli majlis pihak berkuasa tempatan di beberapa tempat.

“Namun setelah melihat video tular di mana Faizal dengan berseloroh menghina jemaah menteri kerajaan PH dan menabur fitnah kepada DAP demi memancing undi membuktikan beliau tidak layak menjadi menteri besar,” katanya.

Video itu menunjukkan Faizal dalam satu pertemuan tidak rasmi dengan beberapa individu, termasuk Karmaine. Beliau antara lain bercakap tentang keseorangan dalam berdepan dengan DAP di Perak.

“Macam saya di Perak, saya seorang terkontang-kanting nak lawan dengan puak-puak DAP ini. Saya nak pertahankan tanah orang Melayu. Saya nak perjuangkan agama kita.

“Saya buat itu perlahan-lahan. Tapi, Alhamdulilah… kat sana (Perak) kawan-kawan Umno saya tak adalah marah saya macam ini. Kawan-kawan Umno baik dengan saya,” katanya.

Beliau juga berkata tidak duduk bersama menteri ketika hari penamaan calon PRK Tanjung Piai sebaliknya bersama Umno.

Dalam reaksinya, Faizal berkata rakaman itu diambil di luar konteks dan tidak merekodkan ucapan beliau secara sepenuhnya.

“Saya telah mengatakan bahawa saya telah melalui banyak perkara di Perak dan terdapat pemimpin DAP cuba memburuk-burukkan saya. Apa yang penting ialah kita semua bekerjasama rapat,” katanya seperti dilapor FMT.

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin pula berkata kenyataan Faizal mungkin pengalaman peribadinya di Perak, dan menyifatkan DAP tetap rakan penting dalam kerajaan negeri itu.

Mkini



Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *