Tak semua Cina rasis macam ‘parti di sana’ kata Ka Siong

Share

Presiden MCA, Dr Wee Ka Siong, malam tadi mempertahankan parti itu dengan mendakwa mereka tidak pernah mempersendakan Melayu, Islam dan institusi raja negara ini.

Hal itu, kata Ka Siong, berbeza daripada “parti di sana” yang pernah meminta agar orang Melayu screw (mengenakan) Melayu yang lain.

Berucap di atas pentas yang dikongsi bersama Presiden Umno, Dr Ahmad Zahid Hamidi; dan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, Ka Siong berkata semua agama mengajar penganutnya agar menghormati antara satu sama lain.


“Dalam sejarah, MCA tak pernah persendakan orang Melayu, agama Islam dan juga institusi raja di negara ini. Tak macam parti di sana yang pernah mintak Melayu screw Melayu,” katanya di depan kira-kira 2,000 hadirin termasuk sebahagian kecil daripada masyarakat Cina.

Turut hadir, calon BN untuk PRK Tanjung Piai, Wee Jeck Seng.

Mengenai perpaduan ummah – merujuk kepada Muafakat Nasional yang melibatkan Umno dan PAS – Ka Siong berkata ada pemimpin PH mengaitkan perkembangan itu dengan risiko pentadbiran Taliban.


Ada Cina berjiwa Malaysia

Ucapan Ka Siong itu dipercayai merujuk kepada kenyataan pernah dibuat Timbalan Setiausaha Agung DAP, Nga Kor Ming, pada Mac lalu ketika beliau mengulas kerjasama Umno dan PAS

Kata anggota parlimen Simpang Renggam itu, tindakan tersebut adalah tidak wajar.


“Tuan-tuan, ini mulut apa? Celupar mulut ni,” katanya.

PRK Tanjung Piai akan diadakan pada 16 Nov ini. Ia menyaksikan MCA meletakkan calon untuk kali kedua dalam PRK selepas Mei 2018.

Dalam PRU ke-14 lalu, MCA menunjukkan prestasi sangat buruk apabila hanya Ka Siong menjadi satu-satunya calon parti itu berjaya ke Dewan Rakyat berbanding 39 kerusi yang ditandingi.

Di peringkat dewan undangan negeri pula, MCA meletakkan calon di 90 kerusi namun hanya dua daripadanya yang dimenangi parti terbabit.

Baca PAS sokong MCA sebab Melayu-Islam ‘terlalu majoriti’

Menurut Ka Siong MCA mempunyai kelainan berbanding parti lain walaupun ia dianggap mewakili masyarakat Cina.

Katanya, bukan semua orang Cina bersikap rasis dan kumpulan terbabit hanya segelintir dan mungkin membawa ideologi yang berlainan berbanding MCA.

“Tapi percayalah, di bumi Malaysia ini ada anak-anak Cina yang berjiwa Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Abdul Hadi yang mengambil giliran sebagai penceramah selepas Ka Siong menjelaskan mengapa PAS mengambil pendirian menyokong penuh calon MCA dalam PRK Tanjung Piai.

Kata anggota parlimen Marang itu, orang Islam boleh hidup aman dan bekerjasama dengan semua bangsa.

Jika ada sebarang masalah, katanya, ia boleh ditangani melalui kontrak sosial yang ada.

“Calon MCA ni mewakili kita semua, bukan satu kaum sahaja,” katanya.

Mengikut pemerhatian Malaysiakini, sesetengah penyokong MCA dilihat beredar dari kawasan ceramah itu ketika Abdul Hadi menyampaikan ucapannya.

Mkini

Leave a Reply