#PrkTgPiai : UMNO Tidak Rasis, BN Ada Sifat Toleransi Tinggi – Saravanan (Video)

Share


Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan menegaskan bahawa UMNO tidak rasis dan Barisan Nasional (BN) mempunyai semangat kebersamaan yang sangat tinggi sebagaimana diterapkan dalam masyarakat Malaysia yang memiliki nilai moral dan etika yang kukuh, bertolak ansur, penyayang serta adil.

Jelas beliau, satu kejayaan yang cukup besar buat negara yang selama 61 tahun dibawah pentadbiran BN ialah dapat melahirkan sifat kesederhanaan yang dimiliki oleh rakyatnya termasuk orang Melayu yang cukup bertoleransi.

“Kita sedar walaupun Tanjung Piai merupakan majoriti orang Melayu tetapi hari ini kita mengangkat calon MCA sebagai bukti sikap toleransi dan ini jelas bahawa UMNO dan BN bukannya sesebuah parti yang rasis seperti mana yang diperkatakan.

“Hari ini di Tanjung Piai, orang-orang Melayu telah menunjukkan toleransi melantik Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng dari MCA sebagai calon Pilihan Raya Kecil (PRK),” katanya dalam Ceramah Perdana di Bilik Gerakan BN Kukup malam tadi, di sini.

Turut hadir dalam Ceramah Perdana ialah Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong; Pengerusi BN Johor, Datuk Ir Hasni Mohamad; Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa; Setiausaha Agung PAS Pusat, Datuk Takiyuddin Hassan; Pesuruhjaya PAS Johor, Abdullah Hussin; Ketua UMNO Bahagian Tanjung Piai, Datuk Jefridin Atan serta pengundi-pengundi Parlimen Tanjung Piai.

Saravanan yang juga Ahli Parlimen Tapah menjelaskan terdapat empat asas kejayaan negara ini.

“Walaupun negara ini terdiri dari pelbagai kaum, perpaduan dan silaturahim antara kita adalah asas pertama. Kedua adalah kewibawaan pemimpin-pemimpin dari zaman Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj sehingga ke zaman Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

“Ketiga adalah kestabilan politik berterusan di bawah kerajaan BN dan yang terakhir adalah sikap toleransi orang-orang Melayu yang telah menerima semua kaum sebagai rakan kongsi untuk mentadbir dan mengurus negara ini secara aman dan damai.”

Ini adalah fakta dan rakyat tidak boleh lari dari fakta kerana sikap toleransi orang Melayu telah memainkan peranan yang cukup penting dalam pembangunan negara ini, ujarnya. – UMNO ONLINE



Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *