#PrkTgPiai : Peniaga Tg Piai terhimpit dengan kos tinggi selepas tukar kerajaan.

Peniaga Tg Piai mungkin undi BN kerana ‘terhimpit’ selepas tukar kerajaan

Peniaga pasar pagi Serkat di sini mengeluh terhimpit dengan bebanan kos sara hidup tinggi dan hanya “cukup-cukup makan” selepas Pakatan Harapan (PH) mengambil alih tampuk pemerintahan daripada Barisan Nasional (BN).

Darwin Mardis, 28, yang menjual apam balik berkata, harga barang semakin mahal menyebabkan keuntungan yang diperolehinya tidak banyak.

“Nak belanja pun teragak-agak. Peniaga terbeban dan cukup-cukup makan selepas pertukaran kerajaan baru.

“Kalau ada untung pun kurang RM100. Kalau dulu dalam RM300 lebih dan cukup untuk pusing modal,” katanya ketika ditemui FMT di pasar pagi Serkat yang majoritinya pengundi Melayu.

Beliau tidak menolak kemungkinan pengundi Tanjung Piai akan menyokong BN pada pilihan raya kecil 16 Nov ini kerana kecewa dengan PH yang gagal menunaikan janji dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-14.

Parlimen Tanjung Piai mempunyai 53,528 pengundi yang terdiri daripada 57% Melayu, diikuti Cina (42%) dan India (1%).

PRK kali ini menyaksikan persaingan enam penjuru membabitkan calon PH, BN, Gerakan, Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) dan dua calon bebas.

PH mempertaruhkan Karmaine Sardini daripada PPBM sebagai calonnya dan BN meletakkan Wee Jeck Seng sebagai calon mereka pada PRK kali ini.

Seorang lagi peniaga yang hanya mahu dikenali sebagai Alfiah, 46, berkata rata-rata peniaga di pasar pagi Serkat terbeban dengan kos sara hidup tinggi dan perniagaan terjejas.

“Perniagaan itu ada kala untung dan ada kala merosot sedikit. Kerajaan ada bantu, tetapi baru lagikan, ada terasa sikit.”

Beliau berkata, kebanyakan penduduk mengenali Wee berbanding Karmaine kerana ketua MCA Bahagian Tanjung Piai itu pernah menjadi ahli Parlimen di kerusi Parlimen berkenaan selama dua penggal sejak 2008.

“Kalau jumpa peniaga di pasar pagi serkat, saya lihat mereka cakap nak yang biru,” katanya merujuk warna logo BN berwarna biru sambil menambah mereka berharap perubahan akan berlaku jika BN menang di PRK Tanjung Piai.

Peniaga pakaian “bundle” berusia 37 tahun, Ashari Abu Bakar berasa terbeban apabila perniagaannya merosot.

“Dari segi perniagaan itu, ada kala untung, tetapi tidak banyak, rasa terbeban sikit.”

Katanya, beliau tidak mengikuti perkembangan politik semasa, tetapi merasakan ramai pengundi di Tanjung Piai mula beralih kepada BN.

“Macam saya, dua-dua calon (PH dan BN) tak kenal, tetapi saya rasa mungkin BN menang.”

FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker