#PrkTgPiai : PAS Janji Sokong Wee Jeck Seng – Hadi Awang (Video)

PAS berjanji menyokong calon Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, ujar Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Ahli Parlimen Marang itu menjelaskan mengapa PAS boleh menyatakan sokongan kepada MCA bagi mewakili BN di PRK Tanjung Piai.

“Soalnya mengapa PAS satu parti yang bersifat agama boleh menyokong calon MCA yang dianggap bukan Islam… perlu difahami Islam yang kita faham, diajar bukan sahaja satu agama tetapi Islam juga adalah cara hidup, di antaranya mengajar kita hidup bermasyarakat.

“Dalam hidup bermasyarakat keperluan tempat makan minum, pakaian tempat tinggal tiada beza antara agama, dan ada perkara berbeza dalam agama antara halal dan haram.

“Dalam perkara yang tiada beza itu kita mesti bekerjasama, tolong menolong antara satu sama lain. Perkara yang berbeza kita saling menghormati antara satu sama lain, memerlukan kontrak sosial antara kaum,” katanya ketika berucap di ceramah perdana, di bilik gerakan BN Kukup, di sini malam tadi.

Hadir sama Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi juga selaku Pengerusi BN, Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, Timbalan Presiden MIC Datuk Seri M Saravanan, Pengerusi BN Johor Datuk Ir Hasni Mohamad selaku pengarah PRK dan calon BN Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng.

Ulasnya lagi, ketika negara mencapai kemerdekaan hanya parti-parti UMNO, MCA, MIC dan PAS yang terlibat dalam kontrak sosial.

“Pilihan raya tahun 1955, yang jadi ahli Parlimen UMNO, MCA, MIC dan PAS, parti lain belum ada di dunia lagi, maka dimeteraikan Perlembagaan Persekutuan. Islam agama persekutuan, agama lain, budaya masing-masing diberikan hak.

“Berlakunya kacau selepas itu kerana adanya parti-parti tak puas hati termasuk yang berani mengubah kontrak sosial yang telah termeterai itu. Ini yang mencabar kita hari ini, ada yang mewar-warkan Muafakat Nasional yang dibawa oleh UMNO PAS akan menyebabkan huru-hara.

“UMNO yang memerintah 60 tahun lebih, PAS juga pernah memerintah negeri Kelantan, Terengganu, Kedah menyertai BN tahun 1974 bersama MCA dan MIC dapat memerintah dengan aman dan damai. Tuduhan-tuduhan ini mesti ditolak,” tegasnya.

Abdul Hadi juga berkata walaupun PAS dan MCA berbeza pendapat tetapi bersepakat dalam perkara yang melibatkan kepentingan bersama.

“Maka untuk memelihara Malaysia yang kita berada dalam satu bahtera ini, jangan izin orang tebuk bahtera kita. Ajarkan di PRK Tanjung Piai ini.

“Calon MCA ini mewakili kita semua. Bukan mewakili satu kaum sahaja. Kita menyedari bahawa Pakatan Harapan yang banyak parti itu tidurnya satu bantal, mimpinya lain-lain, tidak ada persefahaman bagaimana hendak memerintah negara. Dengan tanda-tanda yang ada ini marilah kita membuat perubahan,” katanya lagi.

Oleh itu tambahnya, rakyat khususnya pengundi di Tanjung Piai perlu memahami bahawa PRK ini besar maknanya untuk memberi isyarat bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15.

“Sekarang kita punyai barisan pembangkang yang majoriti besar orang-orang Melayu sahaja. Kita memerlukan kerusi-kerusi bukan Islam yang tidak ekstrem, kita tolak parti yang ekstrem.

“PAS berbeza pendapat dengan MCA, kita bukan dalam satu gabungan tetapi DAP boleh hentam kita dalam satu pakatan (dahulu). Semasa dalam Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat dengan Dap, dia hentam kita macam parti luar. Ini ekstrem yang ditunjukkan.

“PAS perintah Kelantan sampai hari ini, ada huru-hara? Di Terengganu, Kedah ada huru-hara? Dia kata kita Taliban dan macam-macam…,” ujarnya.

Beliau juga sempat memberikan serangkap pantun kepada khalayak:

Dari Pagoh pergi Seremban,
Terus belajar ke Pulau Manis;
Kamu tuduh kami Taliban,
Di belakang kamu ada komunis.

“Semua parti yang ada di sini, parti yang tidak menyokong komunis,” tegasnya lagi. – UMNO ONLINE

https://www.youtube.com/watch?v=PqD1N-bB0VM

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker