#PrkTgPiai : Nelayan rasa pelik bantuan khas waktu PRK

Menteri Besar Johor Dr Sahruddin Jamal baru-baru ini mengumumkan bantuan khas RM1,000 kepada nelayan pantai yang terjejas akibat kegiatan pembangunan di Johor Selatan.

Malaysiakini menemubual beberapa orang nelayan di kawasan Tanjung Piai bagi mendapatkan maklum balas mereka mengenai inisiatif kerajaan negeri itu.

Zainal Abidin, 55 ketika ditemui di Tanjung Piai berkata kesusahan kelompoknya sudah lama dan berasa pelik kerana baru kini kerajaan dilihat tampil membantu.

“Kita kena dengar lah apa dia punya tujuan, sebab isu ini (bantuan nelayan) dah lama tetapi baru masing-masing nak bagi bantuan.
Iklan

“Dulu janji, janji tetapi dah PRK (pilihanraya kecil) baru nak bagi,” katanya yang menjadi nelayan sejak tujuh tahun lalu.

Walaupun Zainal mengakui bantuan itu dapat meringankan bebannya namun melihat ia cuma sekadar untuk mengambil hati rakyat.

“Sekarang kalau dia bagi macam nak raih undi kita lagi,” katanya.

Pagi tadi, Dr Sahruddin menjelaskan bantuan yang bakal disalurkan mulai minggu depan itu membabitkan kos sebanyak RM1.513 juta daripada Tabung Pembangunan Nelayan Negeri Johor.

Ditanya sekiranya bayaran khas kepada nelayan pada minggu depan itu kerana kempen PRK Parlimen Tanjung Piai yang sedang rancak berjalan, Dr Sahruddin menafikan perkara itu.

Katanya, pemberian bayaran khas tersebut sudah dilakukan sejak 2015 dan pada kebiasaannya dibayar terus kepada nelayan di antara bulan Oktober sehingga November pada setiap tahun.

Sementara itu, Adam Muhamad, 59 yang menjadikan laut sumber rezekinya sejak kecil lagi pula merasa aneh kerana bantuan khas diberikan ketika kempen PRK.

“Dia bagi bersyukur, dari dulu memang sudah ada pun, cuma aneh lah dekat-dekat PRK baru nak beri.

“Bantuan ada dulu cuma dah diberhentikan dan dulu ada beri RM2,000 tetapi tidak mengapa kalau kerajaan nak beri kami okay saja,” katanya yang merupakan nelayan sejak kecil lagi.

Bagaimanapun, bagi Alias Awang, 57, dia bersyukur atas bantuan yang diberikan kerana ia sedikit sebanyak dapat meringankan bebannya.

“RM1,000 okay lah, kami (nelayan) boleh beri barang keperluan apa patut. Terima kasih lah.

“Tidak apa, beri kami (nelayan) ambil saja,” katanya yang menggelarkan dirinya anak jati nelayan.

Senada dengan Alias, Abdul Rashid M Said, 51, yang sudah menjadi nelayan lebih 20 tahun pula berharap bantuan itu tidak hanya berhenti pada waktu PRK sahaja.

Untuk rekod, difahamkan beberapa menteri juga telah menyalurkan bantuan kepada rakyat di kawasan Tanjung Piai menjelang PRK itu.

Antaranya, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, pada 13 Oktober lalu mengumumkan peruntukan RM3 juta untuk kerja-kerja penambahbaikan, termasuk pembinaan sebuah dewan di Kukup, Tanjung Piai.

Zuraida berkata peruntukan berkenaan diluluskan lebih awal dan beliau hanya ke sana bagi memastikan kerja-kerja terus berjalan selepas MP penyandang bekas timbalan menteri di JPM Dr Md Farid Md Rafik, 42 meninggal dunia pada September lalu.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman juga berkata ketika mengumumkan peruntukan RM4 juta bagi menambah baik kemudahan sukan dan reakreasi di Tanjung Piai.

Sehari sebelum penamaan calon, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub, mengumumkan dana RM3 juta untuk menambah baik tiga jeti di Tanjung Piai.

Terbaru, Salahuddin juga memberi sumbangan RM5,000 kepada Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (C) Pei Chio, Kukup Laut, di Tanjung Piai, Johor.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Nelayan Johor Selatan Azli Mohd Azis menjelaskan bantuan tersebut merangkumi enam kawasan parlimen iaitu di Tanjung Piai, Tebrau, Kota Iskandar, Johor Bahru, Pasir Gudang dan Pulai.

Selain itu, Azli juga berharap agar bantuan yang diberi kepada nelayan tidak akan berhenti setakat ini sahaja.

“Harapan saya sebagai nelayan supaya perkara ini diteruskan, memang betul program ini sudah ada namun saya faham lewat sedikit dengan keadaan peralihan kuasa dan kekangan dana.

“Kerajaan negeri pun kalau boleh minta cuba fikirkan agar bantuan ini terus dapat terlaksana,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

PRK Tanjung Piai menyaksikan pertembungan enam penjuru antara calon BN Wee Jeck Seng, calon PH Karmaine Sardini, Badhrulhisham Abdul Aziz dari Berjasa, Wendy Subramaniam (Gerakan) serta calon bebas, Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar.

Wee yang juga ketua bahagian MCA pernah menjadi MP Tanjung Piai selama dua penggal sebelum tewas tipis pada PRU14 kepada Dr Mohd Farid dalam pertandingan tiga perjuru yang turut melibatkan calon PAS.

SPR menetapkan tempoh kempen selama 14 hari dengan tarikh mengundi pada 16 November manakala 12 November ditetapkan sebagai hari pengundian awal.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker