MP PKR soal kenapa PM, MB Johor benarkan hutan paya bakau jadi padang golf

MP soal kenapa PM, MB benarkan hutan paya bakau jadi padang golf

Seorang anggota parlimen membangkirkan mengapa Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (Irda), yang dipengerusikan bersama oleh Perdana Menteri dan Menteri Besar Johor boleh terlepas pandang berhubung pembinaan sebuah padang di kawasan bakau yang diwartakan di Sungai Pulai.

Ketika perbahasan belanjawan peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat, Hassan Karim (PH-Pasir Gudang) menggesa Kementerian Kewangan meneliti fungsi Irda sebagai agensi dalam membangunkan Iskandar Malaysia.

“Saya ingin bertanya supaya MOF teliti sikit apa sebenarnya kuasa Irda, adakah ia bertindan tindih, ada kelompongan berlaku misalnya.

“Saya ingin MOF, lihat Irda ni ada taring, kuku, gigi untuk laksanakan projek Iskandar Johor,” katanya.

Beliau memberi contoh bagaimana Hutan Simpan Sungai Pulai bertukar menjadi Forest City Golf Course Resort.

“Seluas 800 hektar di Sungai Pulai, hutan bakau ni, warta dibuka, gazet itu dilupuskan, telah dibangunkan suatu pusat resort padang golf, bertaraf antarabangsa 18 lubang, dan highway menghubungkan airport ke Singapura.

“Ssaya nak tanya, adakah pembangunan projek resort padang golf itu dapat kebenaran dan kelulusan oleh pihak Irda?

“Sebab Irda joint chairperson itu PM dan MB Johor, jadi siapa sebenarnya berkuasa, boleh terlepas itu (hingga) tanah bakau hutan gazette itu boleh dibangunkan padang golf,” katanya.

Beliau juga mempersoalkan bagaimana Irda membenarkan projek Forest City, yang dibina di atas empat pulau buatan manusia dan pembinaan rumah yang tidak mampu dimiliki penduduk tempatan.

“Adakah projek ni termasuk projek dikawal oleh Irda yang mempunyai implikasi alam sekitar, Sungai Selat Johor dah sempit dekat pelabuhan Tanjung Pelepas, kalau tak kawal betul-betul langgar kapal di situ,” katanya.

Sungai Pulai adalah salah satu tapak yang diklasifikasikan sebagai Tanah Lembab Kepentingan Antarabangsa di bawah Konvensyen Ramsar 2003.

Paya bakau berkenaan adalah seluas 8,334 hektar, hampir dua kali ganda Putrajaya.

Malaysiakini sebelum ini melaporkan sebahagian daripada hutan simpan itu sedang diubah menjadi padang golf.

Menurut laman web Forest City, kerja-kerja di padang golf tersebut telah bermula pada Julai 2017.

Bagaimanapun, sebahagian daripada Hutan Simpan Sungai Pulai hanya dikategorikan sebagai “tanah pembangunan” pada bulan Januari 2018.

Mkini

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker