#PrkTgPiai : Guna undi gesa Putrajaya atasi kejatuhan harga sawit, calon BN beritahu pengundi

Calon Barisan Nasional (BN), Wee Jeck Seng menggesa pengundi di Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai menggunakan undi untuk menghantar mesej kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) mencari jalan bagi menangani kejatuhan harga kelapa sawit.

Wee yang juga ketua MCA Bahagian Tanjung Piai berkata, harga kelapa sawit mengalami kejatuhan di bawah paras RM400 satu tan sejak PH mentadbir negara selepas Pilihan Raya Umum ke-14 tahun lalu.

Beliau menyalahkan Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad sebagai punca kejatuhan harga komoditi itu secara berterusan yang menjejaskan kepentingan rakyat akibat kuasa besar.

“Dari Jan hingga Dis 2017, harga minyak sawit adalah sekitar RM425 dan RM680 satu tan, manakala dari Jan hingga Mei 2018, harga minyak sawit antara RM405 dan RM440 satu tan.

“Bagaimanapun, dari Jun 2018 dan seterusnya, harga minyak sawit jatuh menjunam sehingga di bawah paras RM400, iaitu antara RM380 dan RM280 pada Julai 2019,” katanya dalam catatan Facebook hari ini.

Kelmarin, ketika berucap dalam ceramah umum PH di Tanjung Piai, Karmaine menasihatkan pekebun kecil tidak mengeluh mengenai kemerosotan harga kelapa sawit.

Katanya, walaupun harga komoditi itu kini turun kepada RM270 satu tan, pekebun kecil perlu bersyukur kerana mendakwa ia masih tinggi daripada RM87 satu tan sewaktu zaman pemerintahan BN.

Hari ini, Wee mempersoalkan kewajaran calon PH, Karmaine Sardini meminta pekebun kecil bersyukur dengan kejatuhan harga minyak sawit.

Katanya, Karmaine boleh mengeluarkan kenyataan sedemikian, ternyata beliau tidak mengetahui keadaan sebenar berkaitan pasaran minyak sawit sejak beberapa tahun lepas.

Oleh itu, beliau menggesa pengundi Tanjung Piai menggunakan undi mereka untuk menghantar mesej kepada kerajaan PH dan Mahathir supaya mengutamakan kepentingan rakyat dan membangunkan ekonomi negara, bukannya asyik bermain politik.

FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker