Pendedahan Sarawak Report : Azmin janji bayar bil perjalanan tertunggak

Share

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali berjanji akan membayar bil perjalanan termasuk tiket penerbangan dan penginapan hotelnya yang didakwa tertunggak.

Ditanya mengenai writ saman baru-baru ini yang difailkan ke atasnya untuk mendapatkan RM328,901 sebagi bayaran tertunggak itu, beliau berkata dirinya akan menyemak penyata tuntutan tersebut.

“Saya belum lihat writ saman itu lagi. Saya telah minta pegawai-pegawai saya untuk menyemak tuntutan yg dibuat oleh ejen pelancongan yang berkenaan


“Sekiranya masih ada lagi baki tertunggak yang belum dibayar, saya kena bayarlah, tanggungjawab saya untuk membayar.

“Jadi biarlah semakan dibuat (dahulu),” katanya kepada media di luar Sidang Kemuncak Matlamat Pembangunan Mampan Malaysia 2019 di KLCC, Kuala Lumpur, hari ini.

Azmin juga ditanya mengapa YHA Travel & Tours (M) Sdn Bhd, yang mendakwa telah menguruskan perjalanan timbalan presiden PKR itu selama 20 tahun, membawa kes berkenaan ke mahkamah.


“Saya tidak tahu (mengapa), kamu tanyalah (kepada) mereka,” kata menteri itu.

Dalam kenyataan tuntutannya yang dilihat Malaysiakini, syarikat itu berkata Azmin berhutang bagi perjalanan antara September 2018 dan Ogos 2019.

Mengikut tuntutan tersebut, firma itu telah menempah tiket penerbangan dan penginapan hotel untuk Azmin, keluarganya, rakan-rakan dan kakitangan kementerian.


Kenyataan itu juga menyebut bahawa plaintif telah menyediakan tiket penerbangan untuk percutian akhir tahun keluarga Azmin di Maghribi dan lawatannya semalaman pada Mei lalu ke Sandakan, Sabah.

Pada bulan Ogos dan September lalu, firma itu mengeluarkan dua surat tuntutan kepada Azmin untuk jumlah tersebut, tetapi tidak ada bayaran dibuat dan oleh itu plaintif menyatakan ia mengalami kerugian dan kerosakan.

Writ saman YHA Travel & Tours’ difailkan firma guaman Tetuan Fong Yap & Gan.

Mkini

Leave a Reply