Hubungan PAS-Umno: Tuan Ibrahim dakwa Guan Eng buat hasutan keterlaluan

Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man mendakwa Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng membuat kenyataan-kenyataan bersifat “hasutan keterlaluan” dengan mempertikaikan kerjasama politik Umno dan parti Islam itu di kalangan bukan Islam.

Dalam kenyataan media hari ini, Tuan Ibrahim berkata, laporan polis mesti dibuat supaya Lim, yang juga menteri kewangan, boleh disiasat atas tiga ucapan berbaur hasutan yang telah dibuat sebelum ini termasuk yang terbaru 3 Nov lalu.

“Atau, adakah Lim kebal dengan tindakan undang-undang sehingga boleh berlagak samseng?” kata beliau yang juga ahli Parlimen Kubang Kerian.

Dalam ucapannya pada 3 Nov lalu, kata beliau, Lim mendakwa sekiranya Umno dan PAS berkuasa, maka hak-hak asasi masyarakat bukan Islam akan dihapuskan.

Malah, kata beliau, Lim juga mengatakan Umno dan PAS tidak akan membenarkan mereka berkumpul bagi menunaikan amalan ibadat mereka.

“Hasutan ini keterlaluan dan ia telah diulang-ulang beberapa kali.”

“Laporan polis mesti dibuat supaya Lim boleh disiasat atas tiga ucapan berbaur hasutan yang telah diucapkan sebelum ini,” katanya.

Tuan Ibrahim berkata PAS menyelar ucapan Lim yang berbaur hasutan pada Konvensyen Tahunan DAP Johor di Muar pada 3 Nov lalu.

“Hasutan ini kali yang ketiga selepas bulan Mac dan Okt lalu.

“Lim menghasut orang bukan Islam dengan melemparkan fitnah jahat terhadap PAS dan Umno. Ucapan keterlaluan tersebut boleh mengheret negara ke kancah perpecahan yang lebih besar,” kata beliau tidak memberi butiran lanjut.

FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker