#PrkTgPiai : Naratif politik Tanjung Piai

oleh AB JALIL BACKER

PILIHAN Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai adalah satu percaturan politik yang sangat menarik kerana ia meletakkan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dalam dilema politik yang kompleks dan rumit.

Malah lebih rumit apabila parti Gerakan muncul menjadi dark horse mencalonkan Wendy Subramaniam, seorang peguam wanita daripada keluarga campuran Cina-India.

Gerakan mungkin melihat perpecahan undi masyarakat Melayu kepada PH dan BN akan memberi peluang kepada mereka melakukan kejutan melalui undi masyarakat bukan Melayu yang mempunyai jumlah agak besar.

PH berhadapan dengan perpecahan dalaman apabila kem Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim sedang berantakan dalam menentukan tarikh peralihan kuasa Perdana Menteri.

Dr Mahathir beberapa kali menyatakan beliau hanya akan menyerah kuasa kepada Anwar pada masa yang sesuai dan ekonomi negara telah pulih. Ini menggambarkan ketidakpercayaan beliau kepada kemampuan Anwar menguruskan ekonomi negara seperti mana pada krisis ekonomi 1997/98.

Kem Anwar pula mahukan Dr Mahathir melepaskan jawatan pada Mei 2020 yang kata mereka seperti mana dalam perjanjian rahsia kedua-dua individu itu sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14). Ini tidak mustahil mengundang sabotaj dalaman antara parti komponen PH.

BN atau lebih tepat UMNO pula berhadapan dengan dilema lebih besar kerana faktor perjuangan, statistik dan sejarah permuafakatan antara kaum.

Berdasarkan statistik pengundi, orang Melayu mahukan kerusi Parlimen Tanjung Piai diwakili oleh wakil rakyat Melayu. Jumlah pengundi Melayu mewakili 57.64 peratus (30,541 orang) daripada 52,986 pengundi berdaftar di Tanjung Piai. Masyarakat Cina pula merupakan kumpulan kedua terbesar dengan jumlah 21,948 orang (41.42 peratus). Selebihnya 479 pengundi daripada kalangan masyarakat India dan 18 orang etnik lain.

Pengorbanan

Namun dari segi sejarah, UMNO sentiasa melepaskan beberapa kerusi majoriti Melayu kepada parti komponen yang mewakili masyarakat Cina dan India bagi membolehkan negara ini dibina oleh sebuah kerajaan yang merangkumi semua kaum. Itu pengorbanan selama lebih 60 tahun walaupun parti itu sentiasa dituduh sebagai parti perkauman Melayu dan bumiputera.

Tanjung Piai merupakan salah satu kerusi yang dilepaskan UMNO kepada MCA. Justeru, ketika BN berhadapan penolakan hampir total masyarakat Cina dalam PRU lepas, timbul persoalan sama ada tradisi dan sejarah ini perlu dikekalkan.

UMNO mahu bertanding sebagai satu kelangsungan perjuangan menentang penghakisan kedudukan bumiputera dan Islam di negara ini. Ini adalah soal survival perjuangan berikutan tindakan beberapa wakil rakyat mereka telah menyertai Bersatu.

MCA juga mahu diberi peluang bertanding semula kerana mereka hanya kalah 524 undi dalam PRU lepas. Jumlah pengundi Cina yang menyokong BN dalam PRU lepas di Tanjung Piai juga mengatasi peratusan sokongan Cina kepada BN di peringkat nasional.

Lebih penting MCA mahu BN menunjukkan kepada masyarakat bukan Melayu bahawa Penyatuan Ummah dan Muafakat Nasional tidak mengetepikan masyarakat bukan bumiputera.

Konsesus BN mencalonkan bekas wakil rakyat Tanjung Piai, Dr Wee Jeck Seng merupakan satu kemenangan moral, sejarah dan persepsi masa depan yang sangat indah. Kalah atau menang, UMNO dan Pas telah membuktikan bahawa mereka berhasrat membentuk sebuah kerajaan yang merangkumi semua kelompok etnik dan agama.

Pasti ada orang Melayu yang tidak akan berpuas hati dan menganggap ini merupakan pengkhianatan kepada penyatuan ummah. Mereka mungkin lupa bahawa Penyatuan Ummah yang lalu telah bersetuju menubuhkan gerakan politik lebih besar iaitu Muafakat Nasional.

Malah PH dengan pantas mengambil kesempatan memperli dan memperlekeh pemimpin Pas yang sebelum ini menyeru undi kepada calon Muslim.Hakikatnya sokongan Pas ke atas calon bukan Islam adalah kerana calon itu membawa panji-panji Muafakat Nasional.

Menariknya PRK Tanjung Piai ini adalah bagaimana senario politik berubah secara drastik.

UMNO dan Pas dilihat memulihkan imej mereka yang dituduh sebagai taliban, perkauman dan berbahaya kepada masyarakat bukan Melayu. Sebaliknya jentera propaganda PH kelihatan terbawa-bawa dengan permainan politik perkauman dan agama yang mereka hina sebelum ini.

Apapun saya fikir isu PRK Tanjung Piai seharusnya berkisar kepada kegagalan dan kelemahan pentadbiran kerajaan hari ini.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker