Kisah Nabi Musa dengan Malaikat Maut

PERBINCANGAN kisah Nabi Musa dengan para pengikutnya sama ada yang beriman, atau yang tidak mahu beriman menjadi kisah yang bukan sahaja memberi pengajaran, tetapi ibrah yang besar kepada umat Islam pada hari ini.

Begitulah panjang perbincangan berkenaan dengan seorang Nabi dan Rasul yang diutus oleh Allah dan diturunkan kitab Taurat kepadanya. Pada kali ini, Ustaz Muhamad Syaari Ab Rahman yang mengisi slot Ibrah memulakan perkongsian dengan dua rangkap pantun;

Setiap Isnin petang kita bersama
Dalam segmen ibrah yang istimewa;
Lebih lima bulan bersama Musa
Dari lahir hingga detik wafatnya.
Musa berjuang demi kebebasan
Mendamba Tanah Suci yang dijanjikan;
Membina jatidiri Bani Israel yang diamanahkan
Namun Allah menangguhkan kemenangan.

Setelah panjang perjalanan sirah dan sejarah Nabi Musa, kita akan tiba pada saat Malaikat Maut diutuskan Allah untuk mencabut nyawa Nabi Musa.

Imam Nawawi berkata, para Nabi dan Rasul akan diberi pilihan untuk menangguhkan kematian atau siap sedia untuk dicabut nyawanya. Begitulah rahsia dan keistimewaan yang diletakkan kepada mereka.

Kisah kematian Nabi Musa tidak dibicarakan di dalam al-Quran. Walaubagaimanapun, kisah ini terdapat di dalam Sahih Muslim yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah. Sebuah kisah daripada hadis sahih riwayat Abu Hurairah r.a. bahawa pada suatu ketika Malaikat Maut diutuskan kepada Nabi Musa untuk mengambil nyawanya. Sebaik sahaja tiba, Nabi Musa terus menamparnya sehingga terkeluar biji matanya.

Lalu Malaikat Maut pun kembali semula bertemu dengan Allah dan berkata : “Engkau mengutus aku kepada seorang hamba yang tidak menginginkan kematian.”

Allah pun mengembalikan mata Malaikat Maut lalu berfirman : “Kembalilah dan berkatalah kepada dia agar meletakkan tangannya di atas belakang seekor lembu jantan. Dari setiap helai rambut yang dapat diliputi oleh tangannya, maka baginya (umur) satu tahun.”

Lalu, Malaikat Maut kembali dan menerangkan kepada Nabi Musa. Baginda pun bertanya, “Wahai Tuhan, setelah itu apa pula? Allah berfirman, “Kemudian kematian.”

Nabi Musa berkata : “Jika begitu, aku mahu kematian sekarang.”

Nabi Musa pun meminta kepada Allah agar dibawa mendekati Tanah Suci (Palestin) sejauh lemparan batu. Kemudian Rasulullah memberitahu : ” Jika aku berada di sana, tentu aku tunjukkan kuburnya berhampiran Bukit Pasir Merah.” (Sahih Muslim, 2372, Kitab Fadail, Bab Keutamaan Musa)

Hadith yang panjang ini memberi penjelasan kisah Nabi Musa didatangi oleh Malaikat Maut. Walaubagaimanapun, kehadiran Malaikat Maut pada kali pertama dalam rupa bentuk manusia menyebabkan Nabi Musa tidak mengetahui perkara itu atas arahan Allah.

Ibnu Hajar Asqalani berkata, Nabi Musa tidak jelas sama ada yang hadir manusia betul atau malaikat pada kehadiran kali pertama. Oleh sebab demikianlah, Nabi Musa menamparnya.

Begitulah kisah-kisah para Nabi yang lain termasuklah Nabi Luth yang diutuskan ramai lelaki kacak yang datang ke rumahnya serta menjadi ketakutan kepada Nabi Luth kerana risau rumahnya akan dihadiri oleh kaum Sadom yang akan mengepung rumahnya. Namun, sebenarnya mereka adalah malaikat.

Dikisahkan juga perihal malaikat yang menyamar menerusi firman Allah, “Dan bacakanlah (wahai Muhammad) di dalam Kitab Al-Quran ini perihal Maryam, ketika dia memencilkan diri dari keluarganya di sebuah tempat sebelah timur. Kemudian Maryam membuat dinding untuk melindungi dirinya dari mereka maka Kami hantarkan kepadanya roh dari kami lalu ia menyamar diri kepadanya sebagai seorang lelaki yang sempurna bentuk kejadiannya.” (Surah Maryam 16-17)

Nabi Musa sebenarnya tidak menafikan ajalnya. Malaikat Maut diutuskan untuk bertanya, bukan untuk mencabut nyawa. Malaikat kembali mengadu kepada Allah dengan berkata, “Engkau mengutus aku kepada seorang hamba yang tidak mengingini kematian.”

Hal ini membawa maksud, dia bertanya kepada Nabi Musa sama ada bersedia dengan kematian atau tidak.

Firman Allah dalam Surah Al-Anaam ayat 61 yang bermaksud, “Dan Dia lah yang berkuasa atas sekalian hambaNya; dan Ia mengutuskan kepada kamu pengawal-pengawal (malaikat yang menjaga dan menulis segala yang kamu lakukan), sehingga apabila sampai ajal maut kepada salah seorang di antara kamu, lalu diambil (nyawanya) oleh utusan-utusan Kami (malaikat); sedang mereka pula (malaikat itu) tidak cuai (dalam menjalankan tugasnya).

Dengan perintah itulah, maka Nabi Musa minta kepada Allah agar didekatkan Baginda dengan Tanah Suci Palestin dengan jarak lemparan batu sahaja. Lalu, Allah pun menerima permintaan Nabi Musa itu.

Begitulah pemahaman yang dapat disandarkan melalui kisah Nabi Musa ini. Apabila seseorang itu rapat dengan Allah, Allah akan merapati dengan mereka. Jika saat pertama kehadiran Malaikat Maut itu tidak berupa seorang manusia, tentu Nabi Musa tidak akan menamparnya, tetapi Allah menghadirkan malaikat sebagai pengutus kepada para Nabi untuk menunjukkan akan setiap upaya itu hanya Tuhan Yang Maha Berkuasa mampu melaksanakan.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker