PRK Tanjung Piai: Kita Adalah Keluarga, #BNBangkit

 

SAYA tahu ramai yang sedikit kecewa dengan MCA kerana sebaik sahaja BN kalah PRU14, ada ura-ura MCA mahu keluar BN.

Cuba semua imbas kembali suasana yang tak bermaya semasa BN kalah tempoh hari. Siapa yang sayangkan BN yang tak sedih dan murung berminggu-minggu dan berbulan-bulan? Ini kali pertama kita kalah dalam 60 tahun, maka amat sukar untuk ditelan dan sudah pasti “keluarga” pun porak-peranda. Gerakan sudah keluar BN dan banyak lagi parti dari Sabah dan Sarawak pun keluar. Jujur saya kata, saya sendiri pun terfikir mahu berhenti menjadi ahli MCA.

Jadi saya lihat pada masa itu memang banyak percubaan (trial and error) dalam menjana balik keyakinan dan memahami landskap politik negara. Kekalahan teruk MCA juga menjadi pertaruhan untuk mereka mencuba jalan baru menggunakan logo MCA dan bukan logo BN. Sudah habis kalah dah, apa lagi yang tidak boleh dicuba? Namun, percubaan ini semua gagal mengembalikan semangat. Memang semua parti komponen masih berusaha mencari identiti, relevan dan kembali bertapak dalam politik negara.

Kemudian, fenomena bossku berlaku dan seterusnya penyatuan ummah. Inilah yang amat saya kagum dengan DSN. Saya yang kalah sekali PRU13 dan BN kalah PRU14 pun sudah lemah longlai tak bermaya, tetapi DSN kembali dengan lebih hebat semangat dan memberi motivasi kepada kita semua. Walaupun rata-rata masyarakat Cina berwaspada penyatuan UMNO-PAS yang mungkin juga akan menyisihkan lagi undi kalangan orang Cina dari BN, MCA berhati-hati menerima perpaduan ini kerana dilihat sebagai jalan kelangsungan hidup politik (political survival).

Dalam BN, rata-rata semua pemimpinnya banyak melihat keunikan negara yang majmuk dan berbilang bangsa dan agama. Pemimpin-pemimpin UMNO, walaupun kekadang lantang bersuara demi Melayu (kerana mereka berpaksikan parti kepentingan Melayu), tidak pernah melupakan Cina India dan seangkatan yang lain dalam menjalankan tanggungjawab. Pemimpin-pemimpin MCA juga tahu dan memahami undi Melayu dan yang seangkatan yang lain turut penting dalam politik dan kemakmuran bersama. Prinsip perkongsian kuasa dan menjaga kemakmuran semua kaum adalah semangat parti PERIKATAN sejak ditubuhkan lagi. Semangat ini tiada dalam parti atau gabungan lain.

Itu sebabnya apabila “adik” MCA merajuk nak keluar “rumah” BN, “abang” UMNO (Tok Mat masa itu) berkata, MCA sayang pada BN dan abang berjaya memujuk kembali adik dan memberi komitmen UMNO-MCA-MIC akan menerajui BN bersama. Semangat PERIKATAN itu hidup kembali. Parti-parti asal dalam PERIKATAN masih teguh diikat bersama.

Maka, hari ini apabila diletakkan calon MCA di Tanjung Piai, ada juga “abang-abang” yang merajuk dengan “adik” dan mulalah berkelahi sedikit. Namun, kita semua berusaha menyatukan “rumah” kita, mengukuhkan benteng penyatuan ummah dan masyarakat umum sebenarnya turut mahu melihat sejauh mana penyatuan ummah UMNO-PAS dapat membawa negara majmuk Malaysia dan ke arah mana. “Ayah” diharapkan dapat meredakan suasana di “rumah”.

Saya melihat ini juga merupakan satu percubaan (trial and error) oleh BN dan yang pastinya, pengundi di Tanjung Piai dapat memberi sedikit gambaran;
1.Penerimaan penyatuan ummah UMNO-PAS dalam negara majmuk,
2.Kesiapsagaan BN menempuhi kekalahan, berdiri dan bersatu kembali menempuh PRU15,
3.Kematangan BN dalam menangani tohmahan dan bantahan sesama sendiri.

Apa-apa pun masih sihat menuju kematangan politik negara. Sama-sama kita belajar.

Kalau melihat angka statistik, Tanjung Piai yang hanya kalah dengan majoriti 500 undi dalam PRU14, sudah pasti menjadi milik BN. Cuma kita juga mahu melihat samada undi Cina kembali atau tidak. Mencongak lagi, saya jangka BN akan menang dengan sekurang-kurangnya majoriti 3,000 undi. Mungkin apabila saya turun ke TP nanti baru dapat memberi unjuran yang lebih tepat. Tapi jangan selesa sebab sudahlah kita nampak “berkelahi”, lagi mudah dicucuk oleh pihak sebelah.

Oleh itu, bersatulah memanaskan enjin dan menggerakkan jentera PRK kali ini. Semoga kejayaan dan kemenangan milik BN!

Setakat ini sahaja kata-kata semangat yang dapat saya curahkan kerana sepanjang PRK nanti saya bertugas sebagai Pemerhati SPR yang memerlukan saya bertindak adil, neutral dan tidak berpihak.

Sekian. Salam 1Malaysia.

CHEW HOONG LING
Timbalan Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia

 

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker