Siapa beri anda kuasa takrif Islam, pengarang terkemuka Turki soal Putrajaya

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) terus menarik perhatian pakar-pakar Islam dari luar negara berikutan dasar kerajaan semasa tidak memansuhkan peraturan yang mengenakan halangan kepada penceramah asing bercakap mengenai Islam di Malaysia.

Mustafa Akyol, seorang tokoh akademik Turki terkemuka di dunia yang ceramahnya pada 2017 dibatalkan oleh pihak berkuasa Islam di Kuala Lumpur sebelum menahannya kerana berceramah tanpa “tauliah”, kata alasan diberikan kerajaan bahawa ia mahu mengelak ajaran “sesat” menunjukkan tidak banyak yang berubah di bawah kepimpinan Malaysia baru.

“Pihak berkuasa Malaysia masih mengandaikan mereka mempunyai hak untuk mentakrif ‘Islam yang betul’ berbanding ‘Islam yang menyimpang Islam’.

“Tetapi kita mesti bertanya, siapa yang memberi kerajaan Malaysia, atau mana-mana kerajaan, kuasa untuk menentukan Islam?” kata Akyol, penyokong kuat kebebasan bersuara di negara-negara Islam yang sering mengkritik kedua-dua kumpulan Islam dan sekular di negara asalnya, kepada FMT.

Pada Rabu lalu, menteri yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal Islam, Mujahid Yusof Rawa mempertahankan langkah Kementerian Dalam Negeri menyelia semua penceramah asing termasuk penceramah Islam, dengan mengatakan pihak berkuasa mahu memastikan sistem kepercayaan mereka “selaras dengan konteks Malaysia”.

Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin sehari sebelum itu memberitahu penceramah Islam dan bukan Islam dari luar negara akan dipantau untuk memastikan mereka “bebas daripada ajaran sesat”.

“Siapa pun yang datang ke sini, tanpa mengira bentuk ceramah, akan dipantau,” kata Muhyiddin.

Kenyataan itu mendapat kritikan hebat daripada ahli akademik Muslim yang berpangkalan di Amerika Syarikat, Nader Hashemi, yang sering menyampaikan ceramah kepada khalayak di Malaysia mengenai Islam.

“Penapisan ke atas penceramah yang datang ke Malaysia untuk membincangkan isu-isu agama menunjukkan autoritarianisme masih hidup dan kuat di Malaysia dan kebebasan dan demokrasi penuh kekal sebagai perjuangan dan aspirasi berterusan,” kata beliau yang mengetuai Pusat Pengajian Timur Tengah di Universiti Denver kepada FMT.

Akyol, yang bukunya “Islam Without Extremes: A Muslim Case for Liberty” diharamkan di Malaysia, mengatakan tidak ada kerajaan berhak menentukan apa yang “Islam sejati” kerana ia bermakna mengurangkan kedudukan agama kepada “kepentingan dan keinginan kuasa politik”.

“Dengan logik itu, Iran boleh mengharamkan Sunni Islam sebagai ‘menyimpang’, kerana Saudi juga boleh mengharamkan Syiah Islam dan juga Sunnah bukan Wahhabi. Atau India boleh melarang semua Islam dengan mengatakan, menurut kepercayaan Hindu, semua Islam adalah ‘menyimpang’ ,” kata Akyol.

Malah menurut beliau, semasa kegemilangan empayar Islam, pemimpin politik tidak mempunyai kuasa ke atas agama.
“Bahkan khalifah tidak mempunyai autoriti itu. Islam, sebaliknya, ditakrifkan oleh ulama yang pelbagai, penganut dan tradisi yang berkembang,” katanya.

“Kebenaran yang mesti kita terima ialah Islam tidak dimiliki oleh mana-mana kerajaan kerana ia berasal dari kuasa yang lebih tinggi daripada semua kerajaan.

“Kewajipan kerajaan adalah mengetahui had mereka, melindungi hak-hak dan kebebasan rakyat mereka, dan membenarkan masyarakat mereka dengan bebas mengamalkan kepercayaan agama mereka dan juga mengadakan perbincangan intelektual mengenai mereka,” kata Akyol.

Pada tahun 2017, lawatan kuliah Akyol di Malaysia, yang dianjurkan oleh Front Renaissance Islam, berhadapan dengan protes daripada kumpulan Muslim konservatif dan pihak berkuasa Islam.

Beliau ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ketika bersedia untuk menaiki pesawat ke Rom, beberapa jam selepas Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) membatalkan kuliahnya mengenai murtad.

FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker