#PrkTgPiai : “Ini Muafakat BN, Kita Bukan Macam PH Tidur Sebantal Mimpi Lain-lain” – Jefridin

Cakap-cakap yang mengatakan bahawa UMNO Bahagian Tanjung Piai dan jenteranya akan menutup bilik-bilik gerakan di Pusat Daerah Mengundi (PDM) apabila Barisan Nasional (BN) mencalonkan semula bekas Ahli Parlimen Tanjung Piai, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng daripada MCA ternyata palsu semata-mata.

Demikian penegasan Ketuanya, Datuk Jefridin Atan ketika ditemui media sebaik selepas pengumuman calon BN oleh Pengerusi Negeri Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad malam tadi.

Ujar Pengarah Operasi Pilihan Raya Kecil (PRK) BN Parlimen Tanjung Piai itu, beliau memberi sokongan padu dan yang lebih penting adalah menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Bagi pihak UMNO kita rasa bersama. Sebenarnya yang paling penting bagi kita ialah BN berjaya dan kita dapat menumbangkan kerajaan pada hari ini.

“Gossip itu memang tetap berlaku kerana kita bersama dengan Datuk Seri Wee Jeck Seng ini bukan orang baru, beliau pernah menjadi ahli Parlimen sebelum ini. Jadi saya tidak ada masalah untuk kita meneruskan sokongan padu.

“Setakat ini saya selaku Pengarah Operasi Pilihan Raya Kecil ini, tidak ada pula ura-ura kita hendak menutup PDM tetapi di pihak kerajaan banyak dah tutup kerana mereka tidak setuju tentang calon yang dikemukakan oleh kerajaan,” jelasnya.

Ditanya mengenai bilik-bilik gerakan masih belum aktif, Jefridin berkata ia kerana masih belum memasuki tempoh berkempen.

“Hari ini nampak tutup kerana belum berkempen lagi. Kempen setelah pencalonan pada 2 Nov nanti,” katanya.

Jefridin turut mengulas mengenai semangat permuafakatan dan setiakawan di dalam parti-parti komponen BN.

“Atas muafakat BN kita tidak ada masalah. Kita bukan macam PH boleh tidur satu bantal, mimpi lain-lain, tetapi kerjasama dan muafakat kita teruji lama dah. Saya kalau tak setuju, saya tak datang hari ini. Tetapi demi setiakawan kita tetap bersama.

“Sebenarnya saya terlibat sebagai Pengarah Operasi sebelum pilihan raya, kita diarahkan menubuhkan PDM-PDM ini dan sebelum pengumuman calon pun kita dah memastikan PDM-PDM itu berfungsi dan bagi persiapan pilihan raya setelah penamaan calon 2 Nov, PDM akan terus beroperasi.

“Kita ada mesyuarat berkala bersama Pengarah Pilihan Raya dan bergerak bersama. Sudah semestinya rakan-rakan daripada MCA akan memberi tumpuan lebih kepada masyarakat Cina dan kita bergerak bersama di bawah BN,” ujarnya. – UMNO ONLINE

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker