PAS sokong penuh calon BN di #PrkTgPiai

PAS menyokong calon BN bagi pilihan raya kecil parlimen Tanjung Piai, Wee Jeck Seng, maklum Setiausaha Agungnya Takiyuddin Hassan.

“Saya dengan ini mengesahkan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, bersetuju dengan calon yang dikemukakan sebagai calon mewakili Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Tanjung Piai pada 16 November 2019 nanti, iaitu Wee Jeck Seng dari MCA,” katanya dalam suatu kenyataan hari ini.

Menurut Takiyuddin, tindakan ini selaras dengan persefahaman Muafakat Nasional yang dipersetujui PAS bersama Umno.

“Sokongan ini juga adalah selaras dengan persefahaman yang dipersetujui dalam Muafakat Nasional antara Umno dan PAS yang ditandatangani pada 14 September 2019 yang lalu.

“PAS juga akan menghantar wakil-wakilnya dari kalangan pimpinan kanan parti untuk menghadiri hari penamaan calon pada 2 November 2019 sebagai sokongan kepada calon pembangkang,” jelasnya lagi.

Malam tadi, Pengerusi Umno Johor Hasni Mohammad mengumumkan Wee dipilih sebagai calon BN menerusi siaran langsung di Facebook BN.

Wee yang juga ketua bahagian MCA Tanjung Piai pernah menjadi anggota parlimen kawasan itu dua kali, sebelum tewas tipis pada PRU14 kepada calon PH Dr Mohd Farid Mohd Rafik dalam pertembungan tiga penjuru melibatkan calon PAS.

Pada PRK kali ini, Wee akan bersaing dengan Pengerusi Bersatu Tanjung Piai Karmaine Sardini dan Timbalan Setiausaha Agung Gerakan Wendy Subramaniam.

PRK Parlimen Tanjung Piai diadakan susulan penyandangnya, Farid, 42, yang juga timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri meninggal dunia pada 21 Sept lepas.

Penamaan calon bagi PRK Tanjung Piai ditetapkan pada 2 Nov di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Pontian.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker