Tawaran Kampung.Baru hanya wayang kerajaan- Datuk Jo

Tawaran pembelian tanah dengan harga RM1,000 bagi setiap kaki persegi (kps) di Kampung Baru adalah bersifat paksaan kepada pemilik tanah.

Menurut bekas Menteri Kewangan, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, pembangunan di Kampung Baru tidak boleh mempunyai unsur-unsur paksaan.

“Mana-mana pembangunan di Kampung Baru tidak boleh ada elemen paksaan.



“Tetapi tawaran kerajaan wujud unsur-unsur paksaan seperti mewajibkan persetujuan 100 peratus pemilik mesti bersetuju dan memaksa mereka membeli saham syarikat tujuan khas (SPV).
“Lagi pula, tidak logik minta 100 peratus pemilik tanah Kampung Bharu untuk bersetuju menerima tawaran itu.

“Kawasan Kampung Baru sangat luas, mana ada projek pembangunan di atas tanah seluas itu boleh mendapat persetujuan 100 peratus daripada tuan tanah.

“Sepatutnya mereka diberi pilihan sama ada mahu menerima atau pun tidak. Yang mana bersetuju boleh terima tawaran tanpa melibatkan syarat-syarat yang tidak munasabah kepada pemilik lain.

“Ada kawasan di Kampung Baru sudah dibangunkan contohnya bangunan 39 tingkat berhampiran Pasar Minggu waktu saya menjadi wakil rakyat dan beberapa tanah yang sedang dan telah dibangunkan.



“Apa yang akan berlaku pada bangunan tersebut selepas pemilik tanah “dipaksa” menerima tawaran kerajaan?

“Ada pemilik yang sudah membina bangunan di kawasan tersebut dan mereka gembira serta tidak berniat untuk menjualnya, bagaimana kerajaan boleh capai 100 peratus persetujuan daripada pemilik seperti yang disyaratkan?

“Pra-syarat 100 peratus persetujuan daripada pemilik adalah “wayang” kerajaan kerana memang sukar untuk mencapai persetujuan kesemua pemilik kerana ada pemilik yang tidak bersetuju dgn tawaran ini.

“Mereka tidak ikhlas membuat tawaran ini, hanya sekadar melepaskan batu ditangga” katanya kepada MalaysiaGazette di sini.



Tambah bekas Ahli Parlimen Titiwangsa itu, penawaran kepentingan dalam SPV juga menimbulkan banyak persoalan antaranya siapakah pemilik SPV tersebut dan jika SPV milik kerajaan, agensi mana pula yang akan menguasainya?

Adakah SPV tersebut boleh menjanjikan keuntungan dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu ketika ini, soal beliau.

“Jika SPV itu dimiliki kerajaan agensi manakah yang akan menguasai syarikat tersebut? Kementerian Kewangan atau Kementerian Wilayah Persekutuan.

“Dari manakah SPV tersebut mendapat dana?



“Apakah kerajaan akan memberikan jaminan kepada pinjaman yang dibuat? Adakah ini akan menambahkan hutang kerajaan lagi?

“Sudahkah mereka mendapat kelulusan Kementerian Kewangan dan Kabinet untuk menjamin hutang-hutang ini?

“Jika SPV dimiliki oleh entiti swasta, siapakah pemilik di belakangnya?

“Apakah syarikat tersebut cukup kukuh dari segi kewangan untuk mendapat pinjaman daripada bank-bank atau negara luar?



“Penting untuk kita tahu siapa pemilik syarikat tersebut kerana tidak semua orang mampu meraih pembiayaan yang dianggarkan bernilai RM6.7 berbilion ringgit.

“Selain itu, apakah SPV ini mampu mencatatkan keuntungan dan membayar dividen sebelum kita memaksa pemilik-pemilik tanah membeli saham SPV?,” katanya lagi.

Johari yang juga seorang ahli korporat ternama sebelum aktif dalam bidang politik meminta kerajaan memberikan maklumat tepat dan telus kepada pemilik-pemilik tanah Kampung Baru bagi mengelakkan mereka tersilap membuat keputusan.

“Jangan hanya cerita tentang RM1,000 setiap kaki persegi sahaja, bercerita tentang juta-juta ringgit bayaran yang bakal diterima sedangkan banyak lagi isu yang masih belum dijelaskan.



“Jika perkara-perkara ini masih belum jelas, tidak ada guna kerajaan kemukakan tawaran,” tegas.

Rabu lalu, Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad mengumumkan tawaran akhir dan muktamad daripada kerajaan kepada pemilik-pemilik tanah Kampung Baru dengan harga RM1,000 kps berbanding RM850 kps sebelum ini.

Katanya, tiada lagi tawaran baharu akan dikemukakan selepas ini. dan semalam beliau memberitahu, kerajaan mungkin menggunakan Akta Pengambilan Tanah 1960 sebagai langkah terakhir.-MalaysiaGazette

https://mykmu.net/2018/02/27/guan-eng-perlu-beri-penjelasan-ka-siong/

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker