Presiden Mahu Menyatukan Semua Orang

oleh Ab Jalil Backer

Dari membelasah, mengutuk dan mencerca 6 orang yang menyatakan sokongan kepada Tun Mahathir, kini ada pula yang mula menyalahkan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak mengambil sebarang tindakan.

Politik bukan sekadar perang dan pergaduhan. Ada diplomasi dan kasih sayang yang menyatukan parti besar ini.

Dalam pertemuan saya dengan Dr Ahmad Zahid beberapa minggu lalu beliau dengan jelas menyatakan hasrat beliau untuk menyatukan semua pemimpin UMNO.



Beliau mahu memberi peranan kepada ramai pemimpin UMNO agar parti ini dapat menjadi besar dan kuat.

Malah beliau membuka mukadimah pertemuan dengan menyatakan “saya sekarang Presiden parti, bukan lagi seperti zaman Ketua Pemuda dahulu. Presiden memerlukan kesederhanaan dan keterbukaan dalam menangani perbezaan pendapat.”

Sudah tentu jika ada yang bertindak melampau seperti wakil rakyat yang keluar UMNO, maka mereka berhadapan dengan tindakan tegas parti seperti yang telah dibuktikan oleh beliau.

Jadi saya fikir tidak patutlah ada orang maki Presiden hanya kerana beliau tidak bertindak secara melulu ke atas enam orang ahli Parlimen ini.



Mengurus UMNO sebagai sebuah parti politik yang tiada kuasa kerajaan bukan semudah dulu.

Dulu orang akan datang kepada kita seperti semut menghurung gula. Sekarang orang hanya datang kepada kita jika mereka yakin dengan perjuangan kita dan nilai kepimpinan yang ada.

Semua parti ditubuhkan dengan nilai dan matlamat yang cantik. Namun jatuh bangun sesebuah parti banyak bergantung kepada kekuatan kepimpinan.

Itu tanggungjawab berat Presiden dan pemimpin UMNO. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul



Ahli pula akan menilai apakah Dr Ahmad Zahid benar-benar mahu menyatukan semua pemimpin yang ada ini.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker