Melayu dilabel rasis kalau cakap pasal hak

Melayu seperti tidak ada apa-apa hak di tanah air sendiri apabila menyebut mengenai hak mereka yang dirasakan makin terpinggir, dilabelkan rasis oleh pihak tertentu.

Manakala bangsa lain yang mencabar Melayu dan menyatakan apa saja hak bangsa mereka tidak pula dikatakan rasis, sebaliknya kerana atas nama hak asasi manusia.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, ini menunjukkan seolah Melayu tidak ada apa-apa hak, walaupun di tanah airnya sendiri yang tidak ada tanah lain lagi.

Malah katanya, agama Islam dan Rasulullah S.A.W. yang menjadi hak kebanggaan Melayu boleh dihina, apatah lagi perkara lain yang lebih kecil.

“Apakah Melayu itu hendak dihilangkan di dunia dan ditenggelamkan dalam slogan bangsa Malaysia Baru?

“Sedangkan bangsa lain yang ada negara asal usulnya tetap wujud di alam nyata, walaupun kakinya berpijak di bumi Malaysia dan hidup mati ditimbus di sini meskipun bukan asal usulnya,” kata beliau menerusi tulisannya Bicara Minda Presiden.

Menurut Abdul Hadi, sebelum mengetahui nasib kedudukan Melayu, beliau mengajak rakyat Malaysia memahami maksud perkataan rasis dan sejauhmana ketepatan penggunaan istilah tersebut ke atas nasib Melayu yang malang ini.

Katanya, Melayu menerima nasib ini kerana keIslamannya, tetapi jika Melayu tidak menganut Islam seperti kaum lain, maka tidak dilabel rasis.

“Adakah keadaan ini disebabkan oleh penyakit Islamofobia yang sedang merebak sekarang?

“Perlu difahami kedudukan bangsa dalam Islam tidak boleh dinafikan kewujudannya kerana mereka adalah ciptaan Allah, bukan urusan manusia.

“Namun, mereka dikawal oleh ciri masyarakat madani mengikut kaca mata Islam yang mewajibkan adanya hubungan sesama manusia berbagai bangsa dengan adil dan saksama,” katanya.

Bahkan, beliau menyatakan, Allah telah menetapkan tanah air Malaysia adalah tempat kelahiran bangsa Melayu dengan segala rumpunnya sehingga dinamakan Alam Melayu dan Tanah Melayu.

Katanya, sifat kemanusiaan dan dakwah yang dibawa oleh Islam menjadikan Melayu menerima dengan mudah kedatangan bangsa Cina, India dan lain-lain yang diangkut oleh penjajah.

“Agenda dan tujuan penjajah itu adalah untuk mewujudkan masalah masyarakat majmuk yang berbeza agama dan bangsa bagi melangsungkan cengkaman mereka demi kepentingan ekonomi.

“Umat Islam yang menjadi musuh paling besar mengikut anggapan penjajah sehingga hari ini telah diperlakukan dan dipinggirkan daripada arus kemajuan yang menjadi rebutan mereka.

“Walaupun mereka sepatutnya berterima kasih kepada umat Islam dan tamadunnya, namun permusuhan terhadap Islam menjadikan Melayu tetap sebagai musuh utama kerana keIslamannya,” kata beliau. – MalaysiaGazette

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker