Kit Siang gesa KDN tarik balik pengharaman komik Inisiatif Jalur & Jalan

Lim Kit Siang menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengkaji semula keputusan mengharamkan komik “Inisiatif Jalur & Jalan Meraih Manfaat Bersama”, termasuk versi bahasa Inggeris dan bahasa Cina, diumumkan semalam.

Kata beliau, ini kerana kerajaan Pakatan Harapan (PH) menerajui pentadbiran atas janji akan memperkenalkan era keterbukaan lebih besar tanpa menjejaskan keselamatan negara.

Malah, dalam Janji 27 manifesto PH, kata beliau, telah secara khusus menyatakan akan memansuhkan undang-undang yang menindas seperti Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

“Saya tidak nampak KDN telah bertindak dengan betul dalam mendakwa buku komik Hew Kuan Yau mempromosikan komunisme ataupun dia simpati terhadap perjuangan komunis,” kata beliau dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.

Semalam, KDN mewartakan perintah larangan terhadap komik “Inisiatif Jalur & Jalan Meraih Manfaat Bersama”, termasuk versi kedua-dua bahasa Inggeris dan Cina.

Perintah itu menetapkan pencetakan, pengimportan, penghasilan, penghasilan semula, penerbitan, penjualan, pengeluaran, pengelilingan, pengedaran atau pemilikannya dilarang secara mutlak.

Menurut kementerian itu, terdapat kandungan yang mungkin memudaratkan ketenteraman awam dan keselamatan serta mungkin menggemparkan fikiran orang ramai.

“Kandungan penerbitan ini antara lain cuba mempromosikan ideologi komunisme dan sosialisme, menyebarkan fakta yang salah dan mengelirukan tentang komunis serta mengandungi unsur untuk membangkitkan sokongan dan simpati terhadap perjuangan komunis,” katanya.

Menurut KDN, ia juga boleh menimbulkan keraguan kepada pembaca khususnya generasi muda tentang sejarah Malaysia, seterusnya mempertikaikan usaha serta perjuangan tokoh dan pemimpin terdahulu dalam memperjuangkan kemerdekaan dan membangunkan negara.

“Kandungan penerbitan ini dilihat tidak mengambil kira sensitiviti rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama serta dibimbangi boleh memecah belahkan keharmonian dan perpaduan masyarakat,” tambahnya.

Dalam kenyataannya Lim yang juga ahli Parlimen Iskandar Puteri berkata beliau mengenali Hew lebih tiga dekad, sejak tahun-tahun awal dia sebagai seorang “pemuda yang berang” , sehingga boleh bertindak sangat kasar dan mencetuskan situasi tidak senang, tetapi demi keadilan dan keadaan di Malaysia yang lebih baik, dan tindakan terakhir yang dia akan lakukan adalah menjadi komunis atau mempromosikan komunisme.

“Oleh itu, menjadi kejutan kepada saya apabila buku komik diharamkan oleh KDN atas alasan mempromosikan komunisme dan bersimpati kepada perjuangan komunis.

“Saya tidak bersetuju dengan semua pemikiran dan idea Hew, dan saya tidak membaca buku komiknya apabila kontroversi itu tercetus tetapi Hew bukanlah seorang komunis atau seorang yang bersimpati kepada komunis,” kata beliau.

FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker