33 pertuduhan bukti saya tak ambil RM90 juta dari Umno, kata Nasharudin

Bekas timbalan presiden PAS, Nasharudin Mat Isa berkata 33 pertuduhan pecah amanah dan pengubahan wang yang dihadapinya hari ini membuktikan dia tidak menerima RM90 juta daripada Umno.

Katanya, pertuduhan hanya dibuat di bawah Kanun Keseksaan serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Beliau berkata, dakwaan itu langsung tidak menyentuh wang daripada 1MDB dan anak syarikatnya.

“Tuduhan sebelum ini berkaitan wang RM90 juta dikatakan masuk dalam akaun saya adalah tidak benar,” katanya kepada FMT di Kompleks Mahkamah Shah Alam hari ini.

“Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia telah melakukan siasatan cukup lengkap dan tidak ada satu pun disebut. Ini satu bukti jelas pada semua.

“Dalam pertuduhan yang dibacakan, tidak ada satu kalimat pun sebut perkara tersebut.

“Jadi, saya mengambil keputusan untuk kita bicarakan kerana amat yakin dengan segala pertuduhan yang telah dibaca tadi ini ruang terbaik dalam proses perbicaraan nanti untuk sekali lagi bersihkan nama saya.”

Terdahulu, Nasharudin mengaku tidak bersalah terhadap tiga pertuduhan pengubahan wang dan 30 pertuduhan pecah amanah membabitkan RM4 juta di Mahkamah Majistret Shah Alam.

Nasharudin, 57, memberi keterangan kepada SPRM berhubung dakwaan PAS menerima dana RM90 juta daripada Umno pada 8 Feb lalu.

Pada 2017, Sarawak Report mendakwa PAS menerima RM90 juta yang dimasukkan ke akaun pemimpin atasannya sebagai usaha menarik kepimpinan parti Islam itu untuk menyokong Barisan Nasional dan Umno pada Pilihan Raya Umum ke-14.

Hari ini, Nasharudin yakin namanya boleh dibersihkan dalam perbicaraan kesnya nanti.

“Sudah tentu di luar sana banyak spekulasi dan persepsi.

“Tidak dinafikan, tetapi tunggulah perbicaraan nanti perkara sebenar akan dapat didedahkan.”

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker