Ekonomi berasaskan politik naungan

Share

Oleh AB JALIL BACKER

Keadaan ekonomi Malaysia berada dalam ketidaktentuan sejak setahun lalu akibat perubahan parti pemerintah. Sepatutnya perubahan itu tidak memberi kesan besar kepada persekitaran perniagaan sekiranya ia diuruskan dengan profesional dan meyakinkan.

Namun apa yang berlaku ialah perubahan parti pemerintah itu telah diikuti dengan perubahan kehendak dan nafsu baharu. Banyak perniagaan dan kontrak yang telah diluluskan oleh pentadbiran lama dirunding semula, dikurangkan harga dan ada yang dibatalkan.


Menurut sumber, banyak kontraktor dan pembekal diberi pilihan oleh Kementerian Kewangan sama ada mengurangkan kos kepada 10 peratus atau menyerahkan semula kontrak kepada kerajaan untuk diproses semula.

Lebih menghairankan kebanyakan kontraktor yang berhadapan keadaan itu ialah kontraktor-kontraktor Melayu.

Walaupun kontrak-kontrak itu mungkin diberikan secara runding terus atau tender terhad namun kerajaan tidak boleh sewenang-wenangnya meminta pengurangan atau pembatalan.


Kita menyokong langkah rundingan semula jika ada bukti menunjukkan harga yang berlebihan dan keterlaluan berbanding nilai sebenar projek.

Namun dalam banyak kes, arahan pengurangan harga itu dilakukan dengan tujuan mewujudkan persepsi kerajaan dahulu korup dan tidak telus. Malah sudah timbul cakap-cakap rundingan semula itu bertujuan mewujudkan kroni-kroni baharu secara langsung dan tidak langsung.

Ada kontraktor dicabar menyaman kerajaan jika tidak bersetuju dengan tindakan rundingan semula atau pembatalan kontrak.


Mudah kepada Kementerian Kewangan mencabar saman kerana bukan menteri yang menanggung kos. Jika kalah pun ia dibayar oleh kerajaan bukan oleh menteri, sebaliknya kontraktor yang terbabit akan kerugian masa dan wang yang besar dalam berhadapan kes mahkamah.

Pada tahun lalu Kementerian Dalam Negeri telah membatalkan kontrak Sistem Kawalan Imigresen Nasional (SKIN) yang bernilai RM3.5 bilion kerana ia diluluskan oleh pentadbiran lalu.

SKIN telah diberikan kepada syarikat Prestariang SKIN Sdn Bhd (PSSB) secara runding terus berikutan keperluan spesifik dan kepentingan keselamatan negara. Ia sepatutnya mula beroperasi mulai April 2020 menggantikan Sistem Imigresen Malaysian (MyIMMs) yang mempunyai banyak kelemahan.

Apabila membatalkannya, KDN telah membuka tender secara ‘request for proposal’ (RFP) untuk pembangunan Sistem Bersepadu Imigresen (Integrated Immigration System – IIS). Pada tarikh tutup 16 Ogos lalu, sebanyak 30 buah syarikat menghantar cadangan.

Apa yang membimbangkan ialah sebaik sahaja tarikh tutup, beberapa laporan media mula membuat spekulasi mengenai syarikat yang bakal dipilih. Nama-nama yang disebut seperti Datasonic Group Bhd, HeiTech Padu Bhd, Iris Corporation Bhd and Scicom MSC Bhd dan Maju Holdings merupakan syarikat yang sama ada telah mempunyai hubungan dengan imigresen atau dilihat rapat dengan kepimpinan negara.

Ini menimbulkan kebimbangan dalam kalangan syarikat-syarikat yang menghantar RFP bahawa proses penilaian tidak lagi telus dan bergantung kepada kekuatan lobi.

Pada masa sama, wujud kebimbangan KDN akan membatalkan RFP itu dan memberi kembali kontrak berkenaan kepada Prestariang. Ini kerana apabila kontrak dibatalkan Prestariang telah mengalami perubahan pemegang saham dan pelantikan pengarah-pengarah baharu.

Kebimbangan itu berasas apabila NST Online pada 5 Ogos 2019 menerbitkan sebuah artikel bertajuk “National security: SKIN or IIS?” NST diketahui umum merupakan antara media yang rapat dengan kerajaan dan sentiasa digunakan oleh kerajaan untuk membentuk persepsi umum.

Artikel itu telah membuat analisis kelebihan sistem SKIN berbanding IIS dan memetik laporan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) yang menyarankan Kabinet meneruskan SKIN.

Beberapa minggu lalu Prestariang juga telah menarik balik saman mereka ke atas kerajaan mengenai pembatalan kontrak SKIN dan mengambil jalan mediasi atau perundingan. Ini menguatkan lagi kepercayaan bahawa kerajaan akan membuat pusingan U.

Polemik seperti inilah yang menimbulkan persepsi bahawa kerajaan menguruskan ekonomi berasaskan naungan politik dan menghilangkan keyakinan pelabur dan komuniti perniagaan.

Oleh kerana KDN telah membatalkan kontrak atas alasan ketelusan, maka kerajaan harus membuktikan mereka benar-benar telus dalam pemilihan pembida kali ini. Jangan menjadi seperti ayam yang kokok berderai-derai, ekor penuh tahi.

Sinar

Leave a Reply